Jam di dinding rumah saya baru menunjukkan pukul 8.45 malam. Saya dan anak-anak sedang menonton tv. Isteri saya sedang berkemas didapur selepas kami makan malam. Di luar rumah bunyi bising enjin motosikal dan kereta berderum-deram sahut-sahutan. Rumah saya di hadapan jalan raya. Bunyi bising enjin motosikal remaja yang bermain motor lalu lalang, sudah lali menyumbat telinga kami. Tetapi malam ini laras kekuatan deruman enjin motosikal dan kereta luar biasa bunyinya. Bunyi deruman ini seperti sengaja dikuatkan. Saya mendokong anak bongsu saya yang berumur 6 bulan membuka pintu kayu rumah saya, untuk melihat apa yang berlaku diluar. Alangkah terkejutnya saya kerana tercegat dihadapan rumah saya, empat orang lelaki dewasa disertai 5-6 orang remaja. Di atas jalan raya penuh dengan budak-budak remaja yang sedang menderum-derum enjin motornya seperti sedang bersiap sedia untuk berlepas dalam sesuatu perlumbaan motor. Saya dengan segera menutup pintu dan menguncinya dari dalam. Saya memberitahu isteri saya, bahawa ada orang nakkan saya. Saya menyerahkan anak bongsu saya kepada isteri saya dan mengambil kelewang di bawah tilam dalam bilik tidur. Saya membuka pintu semula dan menyembunyikan kelewang dibelakang saya.
“Kalau kamu semua datang dengan niat baik, dipersilakan naik!, tapi kalau datang dengan niat tak baik, kalau naik, saya tetak”ugut saya separuh berani. Saya ni bukan berani sangat. Tapi kalau dah orang datang jual sampai ke dalam rumah, terpaksalah saya beli.
“Kami datang nak selesaikan masalah. Tapi kita tunggu Abang Li datang sekejap lagi” kata salah seorang pakcik yang paling tua. Che Li adalah orang kanan tiga line kat tempat saya tinggal. Dia ni orang paling gedebe di sini. Dia berniaga kedai kopi. Saya sering membeli roti canai di kedainya. Di halaman rumah, ramai sudah berkumpul. Paling ramai geng remaja dan sebahagiannya ada yang saya kenal. Anak-anak murid saya. Di sisi rumah saya, di dalam garaj, kereta saya yang baru dicat dikelilingi ramai tetamu yang tidak diundang berkerumun. Di dalam hati saya, rasa bimbang menyelinap.
“Kalaulah ada yang gatal tangan, habislah kereta saya” rasa bimbang berbisik dalam hati saya. Ada yang duduk mencangkung, ada yang menyandar. Saya dapat lihat dalam samar-samar lampu beranda rumah saya.
“Mak Oii!, ramainya pengiring!”, tiba-tiba terdengar suara Abang Li dicelah-celah kumpulan orang ramai. Saya melihat kelibat Abang Li, berbaju melayu, berkain sarung dan berkupiah putih.
“Assalamualaikum cikgu!, boleh saya naik? Orang lain tunggu kat bawah!” perintah Abang Li sambil berpusing ke arah kumpulan lelaki dewasa di belakangnya.
“Waalaikumussalam, naiklah” sambut saya sambil tangan kiri mengambil alih kelewang dibelakang saya. Dan tangan kanan saya menyambut salam Abang Li.
“Janganlah Cikgu, benda kecik je ni, bahaya ni, kata Abang Li merujuk kepada senjata yang ada di tangan saya. Saya meletakan kelewang ditepi dinding bilik tidur, tetapi masih boleh dilihat dengan jelas.
“Pertamanya saya nak minta maaf cikgu, kerana turut melibatkan diri dalam masalah ini. Saya cuma bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku. Sebab tu saya datang. Kalau nak kira saya malu sangat terlibat dalam masalah dengan cikgu ni…” jelas Abang Li, apabila kami telah duduk berhadapan di ruang tamu rumah.
“Sebenarnya saya tidak tahu apa yang berlaku, tiba-tiba je saya lihat mereka penuh di hadapan rumah saya” jelas saya masih kebingungan. Belum tahu butir bicara dan sebab musabab mengapa mereka datang dalam situasi tegang seperti ini.
“Tak apa cikgu!, selagi saya ada, cikgu jangan bimbang. Mereka semua tidak akan apa-apakan cikgu. Kita selesaikan masalah ini”Abang Li memberikan jaminannya.
“Sahak mari naik!, bawa naik anakmu sekali. Kita settle cara baik!”perintah Abang Li. Abang Sahak, Pak Jab, Juki Panjang dan Pak Ku naik ke rumah saya diikuti oleh budak-budak muda. Sebahagiannya saya kenal kerana mereka ni bekas dan sesetengahnya masih murid saya. Budak tingkatan dua pun ada. Masih memakai seluar sekolah! Penuh ruang tamu dan beranda rumah saya. Bimbang juga takut runtuh. Sebab rumah saya ini, rumah papan bekas rumah staf Felda yang telah diright off. Saya baiki untuk tinggal di sini. Tak ada rumah lain. Nanti saya cerita kesah rumah ini dalam cerita yang lain.
“Anak saya pergi ke pekan pagi tadi. Bila balik rumah dia mengadu kena pukul. Katanya orang pukul dia adalah orang upahan cikgu” Abang Sahak memulakan cerita Abang Li tersenyum sambil tergelak kecil. Anak abang Sahak tunduk sahaja. Saya terkejut besar mendengar penjelasan Abang Sahak. Pak Jab yang bertubuh kecil dan pendek orangnya memandang saya macam nak makan saya. Dalam hati saya berkata;
“Badan tak sebesar mana, gaya je lebih..Kalau bergaduh aku takkan lari, bawak nasi bungkus pun aku sanggup”bisik hati muda saya yang mula mendidih.
“Cuba kamu cerita sedikit apa yang berlaku, kami nak dengar!” kata Abang Li sambil tangannya mencuit anak Abang Sahak.
“Paaggi tadi sasasaya pegi pekan, dalam perjalanan balik sebuah proton saga putih memotong dan menghalang motor saya. Dalam kete tu ada tiga orang. Dua orang daripadanya keluar dan mebelasah saya. Mereka kata jangan nak tunjuk samseng dengan cikgu Azmi” Cerita anak Abang Sahak terketar-ketar menggigil. Saya memandang tepat ke mukanya semasa dia sedang bercerita. Telinga saya bergerak menahan darah yang mula menjalar naik ke kepala..Semua orang terdiam dan semua mata tertumpu kepada saya. Dari tadi saya lihat Abang Li tersengih mengangguk-angguk. Dalam suasana senyap tiba-tiba abang Li bersuara;
“Saya rasa saya pernah tengok cerita ni dalam tv. Macam drama Melayu!” Kata Abang Li tersengih sambil memandang tepat ke muka anak Abang Sahak
“Saya tak percaya cerita ini. Mu menipu nih. Kalau Cikgu nak pukul kamu tak payah dia upah orang. Saya rasa dia berani pukul kamu bersendirian” kata Abang Li, Megerat terus keyakinan semua yang datang malam itu. Semua orang terdiam dan memandang anak Abang Sahak. Saya rasa seperti satu kemenangan besar apabila abang Li menidakkan cerita anak Abang Sahak.
“Baik kamu cerita perkara sebenar, Baik kamu cerita perkara sebenar, kalau tak….”Abang Li mula mengugut budak tersebut. Akhirnya anak Abang Sahak menceritakan perkara yang sebenar. Mukanya yang lebam sebab jatuh motor pagi tadi. Tetapi disebabkan ada kes dia dengan saya dia cuba melibatkan ayahnya. Sebab itu dia mereka-reka cerita. Ayahnya pula jenis percayakan anak seratus peratus. Habis dikerahnya orang kampong datang nak serang rumah saya. Nasib baik dia tidak langgar semberono. Nak juga dibawanya Abang Li. Kalau tak naya saya. Isteri saya buat air. Tadi yang ramai duduk menyembunyikan wajah di dalam gelap naik rumah. Sebahagiannya minum kat beranda dan sebahagian lagi minum kat halaman rumah sahaja. Rumah sempit. Tak muat untuk semua tetamu yang tak diundang ini. Pelajar-pelajar saya yang tadinya takut dikenali, tanpa segan silu mula menunjukkan muka. Keadaan sudah pulih. Kami berbual-bual isu-isu lain bercampur aduk dengan gelak ketawa. Selepas hari itu perhubungan antara kami menjadi semakin baik.
Seminggu selepas kejadian malam itu, saya pergi ke sekolah pada hari minggu. Saja-saja, jalan-jalan. Cikgu Azhar yang sepanjang masa ada di sekolah tak kira masa mengajak saya pergi kenduri kahwin rumah peneroka. Saya tak berapa kenal lagi semua peneroka di kawasan sekolah, sebab saya pun baru. Tinggal pula di kawasan Felda lain. Tentulah tak berapa kenal. Saya kata saya tak dijemput. Tapi menurut cikgu Azhar, stail kenduri di sini hanya menghantar sekeping kad sahaja ke sekolah untuk menjemput semua guru. Saya pun pergilah kenduri tersebut. Dari jauh saya lihat, kelibat Pak Jab sedang bersalaman dengan tetamu yang baru sampai. Rupanya kenduri tersebut rumah Pak Jab. Dari jauh dia mengangkat tangan dan memanggil nama saya. Dia terus menghulurkan tangan dan memeluk saya.
“Mulia sungguh hati cikgu, cikgu tak simpan dendam dihati. Cikgu sudi datang kenduri rumah saya.” Pak Jab dengan sayu membisikannya kepada saya. Saya hanya tersenyum.
“Taka pa!, semua tu adalah salah faham semata-mata. Saya tak ambik hati…”balas saya. Tetapi terdetik juga dalam hati saya berkata;
“Kalau tahu rumah Pak Jab, aku tak akan datang tadi.” Setan masih menyuntik kebencian dalam hati saya. Bukan apa, payah sikit nak memaafkan Pak Jab. Dia yang nampak sangat nakkan saya malam itu. Itu itu semua tak lama. Lama kelamaan semua orang yang terlibat datang ke rumah saya akhirnya menjadi sahabat baik saya.
Apa yang boleh dipelajari daripada cerita ini ialah kita sepatutnya terlebih dahulu mengenali hati budi, masyarakat setempat dan mengenali dulu beberapa orang penting tempatan yang akan menjadi pelindung kita bila timbul masalah dengan pelajar. Sebagai guru disiplin kita juga sepatutnya tidak terlalu keras dengan pelajar sehingga timbul ketegangan bukan sahaja dengan pelajar tetapi dengan penjaga dan masyarakat setempat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments:
Post a Comment