Semalam 26.12.2009, semasa saya membelek surat khabar Utusan Malaysia, terpampang dirungan tengah cerita kejayaan seorang pelajar SMK Jengka Pusat memperolehi 8A1B. Mungkin suatu kejayaan yang cemerlang bagi pelajar biasa. Tetapi kejayaan ini menjadi sangat cemerlang bagi seorang pelajar istimewa. Kejayaan yang mencabar pelajar biasa. Cabaran kepada semua pelajar yang kuat upaya dari seorang pelajar yang kurang upaya. Kejayaan yang diperolehi melalui kepayahan dan kesulitan. Kejayaan yang diraih melalui pengumpulan segenap kudrat dan kekuatan dalam dari seorang pelajar kecil molek yang kurang segalanya dari segi fizikal tetapi kaya dengan kepercayaan dan sifat positif bahawa daya membawa jaya. Hendak seribu daya.
Saya masih ingat, masih segar dan jelas dalam ingatan saya, bagaimana saya lihat kelibat adik Azreen semasa hari pertama di mendaftar ke tingkatan satu. Seorang pelajar kurang upaya mendapat 5A UPSR. Ibunya yang sentiasa tersenyum tetapi tidak berupaya menutup rasa bimbang dan cemas untuk meninggalkan anaknya di asrama. Masa itu saya ditugaskan sebagai penyambut tetamu di asrama. Hati saya tersentuh. Begitu terharu dengan keberanian ibunya lebih-lebih lagi adik Azreen sendiri yang begitu berani dan bersedia untuk menghadapai cabaran hidup di asrama, dalam masa yang sama ramai lagi pelajar yang penuh upaya fizikal dan kesihatan memberikan pelbagai alasan untuk menolak tawaran tinggal diasrama. Saya melihat ibunya memapah lengan Azreen menuju ke Asrama.
Permohonan ibunya untuk menempatkan anaknya ditingkat paling bawah dan memohon sepupunya untuk tinggal sebilik bagi membantu memudahkan pergerakan Azreen segera saya bawa kepada pihak pengurusan asrama dan diluluskan. Bermulanya cabaran seorang pelajar kurang upaya yang tinggal di asrama untuk menguruskan kehidupan harian.
"Di rumah, segalanya saya uruskan. Nak bergerak ke mana-mana pun saya yang papah dia" jelas ibu Azreen kepada saya. Selain ibu dan bapanya, datuk serta neneknya juga turut sama datang memberikan sokongan semasa mendaftar di asrama.
"Kalau dia dapat tawaran ke asrama penuh pun, kami tidak akan melepaskannya. Sukar untuk kami melawat, mungkin jauh jauh dari sini. Kalau sekolah ini, kami boleh datang pada bila-bila masa, kalau ada masalah" sambung ayahnya.
"Saya tidak ada kemampuan untuk menghantar dan mengambilnya setiap hari ke sekolah memandangkan rumah kami jauh dari sekolah. Bila tinggal di asrama nanti dia terpaksa buat sendiri semua perkara. Mungkin kaki dan tangannya menjadi lebih kuat." sambung ibunya lagi.
Azreen yang sangat lemah fizikal kaki dan tangannya. Pertuturanya juga sangat tidak jelas dan perlahan. Gadis kecil berkulit putih ini sukar untuk menguntum senyuman. Mungkin kerana kesukaran hidupnya, atau mungkin juga kerana bimbangkan suasana baru yang akan ditempuhi di sekolah pada masa-masa mendatang.
Terasa masa terlalu cepat berlalu. Sesekali saya bertanya pada pelajar asrama, bagaimana Azreen datang ke sekolah. Saya membayangkan kesukarannya, kerana jarak antara asrama dan sekolah lebih kurang 200.meter. Terapaksa pula mendaki anak tangga gajah menyusu. Sepupunya memberitahu bahawa dia dan Azreen ditumpangkan oleh warden asrama iaitu Cikgu Zaleha. Begitulah rutinnya.
Suatu hari semasa di kantin sekolah, saya melihat kelibat Azreen berjalan sendirian menuju ke kantin sekolah tanpa dipapah sepupunya. Gembiranya hati saya melibat perubahan drastik Azreen. Terharu hati saya melihat kekuatan adik Azreen mengumpul kekuatan untuk mengubah dirinya. Masa itu Azreen di tingkatan dua. Saya menhampiri Azreen selepas dia mengambil makanan.
"Azreen apa khabar?" tanya saya sambil tersenyum dan duduk dihadapannya.
"Baik!" perlahan tetapi jelas." suaranya juga sudak agak jelas. Dia tersenyum dan mempelawa saya makan. Saya berbual-bual dengannya. Bertanyakan masalah pelajaran dan kehidupan di asrama. Dia melayan pertanyaan saya dan menjawab satu persatu. Ayat-ayat disusun perlahan. Masih tidak berupaya bercakap seperti orang lain tetapi sudak banyak peningkatan!
Saya menceritakan kepada rakan-rakan guru tentang perubahan Azreen. Perubahan dari mula asal dia datang dengan Azreen hari ini. Entah mengapa saya begitu teruja dengan berubahan fizikalnya.
"Sebenarnya, pergerakan hariannya kesekolah, menjalankan aktiviti ringan di asarama menguatkan otot-ototnya. Dia sendiri mencuba untuk buat sendiri aktiviti yang dijalankan. Kak Lah percaya menjelang dia dewasa nanti, dia akan pulih seperti biasa" Kata Pn. Hjh Ramlah, GPK1.
"Kak Lah tengok keputusan periksanya bagus dan sentiasa meningkat dan dia selalu masuk dalam kelompok 20 pelajar terbaik setiap kali peperiksaan dan ujian dijalankan. Kak Lah yakin Azreen akan mendapat keputusan cemerlang PMR nanti"
Dan seperti diduga. Selepas keputusan PMR baru-baru ini dikeluarkan. Azreen muncul salah seorang pelajar cemerlang sekolah dan diistiharkan Pelajar Cemerlang OKU pahang dengan memperolehi 8A1B, walaupun kami warga sekolah tidak pernah merasa dia OKU. Kami yakin dengan perubahan drastik fizikalnya Azreen bukan sahaja bakal menjadi pelajar cemerlang SPM nanti, tetapi dia juga akan berusaha cemerlang mengubah fizikalnya untuk menjadi lebih kuat.
Tahniah AZREEN, kita wajar mencontohi kegigihanya....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments:
Post a Comment