Seni Menangani Konflik

Sebagai sebuah organisasi yang unik, institusi pendidikan sekolah tidak akan terlepas daripada konflik dalaman. Dalam sistem pendidikan sekolah yang terdiri daripada pelbagai hala perhubungan; guru dengan pelajar, guru dengan guru, guru dengan pihak pengurusan sekolah, guru dengan pelajar, guru dengan ibu bapa, guru dengan komuniti, pengurusan sekolah dengan stake holders seperti PPD, JPN dan kementerian serta hubungan dengan komuniti. Maka tidak dapat dielak, pastinya dalam keadaan dan masa yang tertentu akan wujud konflik antara kumpulan kecil dalam institusi pendidikan ini.

Maka dengan kuasa sah dan kuasa pakar pihak pengurusan sekolah terutamanya pihak pengetua perlu menangani segera konflik yang wujud. Paling penting konflik yang wujud antara guru dengan pihak pengurusan sekolah terutama pengetua perlukan penyelesaian yang menyeluruh agar hubungan keruh tersebut akan dapat ditangani.

Semua pihak perlu ada sifat-sifat rendah hati. Rendah hati tidak semestinya merendah diri, tidakmungkin merendahkan martabat kita. Tidak juga menjatuhkan maruah seseorang. Bahkan seseorang yang rendah hati akan menjadi lebih hebat, lebih dikagumi, dan lebih dihormati. Yang lebih penting, pengetua perlu memiliki seni menyelesaikan konflik di sekolah supaya situasi menang-menang akan dapat diperolehi oleh ke dua-dua pihak. Elakan daripada kuasa dan pengaruh akan menang dalam mengatasi konflik antara guru dengan pengetua sehingga wujud penyelesaian terakhir di mana guru akan ditukarkan. Atau lebih teruk, kuasa dan pengaruh guru yang berakhir dengan pengetua juga boleh ditukarkan ke sekolah lain. Ini akan menyebabkan reputasi pihak yang kalah yang menjadi lebih teruk kerana tanggapan dan persepsi sekolah yang menerima pertukaran tersebut akan bermula dengan pandangan negatif kepada guru atau pengetua yang ditukarkan itu.

Setiap sesuatu yang berlaku, pasti ada sebabnya. Tidak mungkin seorang guru akan berkonflik dengan pengetua semata-mata kerana jawatan pengetua itu sendiri. Mustahil seseorang guru itu tidak suka kepada pengetuanya kerana fizikal pengetua itu sendiri. begitulah sebaliknya. Adalakah seorang pengetua itu tidak suka kepada gurunya kerana guru itu tidak handsome, tidak lawa atau tidak menarik fizikalnya. Yang banyak kita lihat, selalunya krisis yang wujud antara ke dua pihak ini bermula dengan persepsi.

Suatu ketika, saya melihat konflik antara guru dan pengetua sekolah bermula sebelum pun kedua-duanya saling kenal mengenali. Kisahnya; seorang guru telah diluluskan permohonan pertukaran ke sekolah tersebut untuk berada lebih dekat dengan kediamannya. Dalam proses pengurusan selalunya nama guru yang bertukar ini akan sampai terlebih dahulu ke sekolah sebelum guru tersebut datang melaporkan diri. Dalam tempoh surat pertukaran diterima dengan tarikh guru tersebut melaporkan diri banyak cerita negatif yang disoksek-soksek dan cepat tersebar. Saya fikir di sinilah bermulanya titik tolak konflik antara guru tersebut dengan pihak sekolah barunya.

Nak jadinya cerita, guru tersebut yang telah menerima surat kelulusan pertukaran, pada suatu hari dalam cuti sekolah telah datang ke sekolah secara tidak formal untuk bukan melaporkan diri tetapi hanya sekadar meninjau dan melihat persekitaran sekolah. Entah macamana tergerak hatinya untuk naik ke pejabat sekolah. Dengan berseluar jeans dan baju T tanpa kolar dan berselipar, guru ini yang tidak mengenali pengetua sekolah tersebut telah memberikan salam kepada seseorang di kaunter pejabat. Konflik menjadi bertambah besar, bermula dengan pendengaran kini berubah kepada pandangan pula. Salah pula komunikasi.

"Sebenarnya saya tidak minta guru opsyen mate, kita kekurangan guru sejarah dan BM". Jelas pengetua setelah diperkenalkan diri oleh cikgu baru tersebut tanpa memandang kearahnya. Guru baru itu mula bergerak-gerak telinganya. Berdesing telinga. Bulat anak matanya dengan tegas menjawab;

"Masa isi borang tukar, saya pun tak minta sekolah ini, PPD yang hantar" sambil berjalan keluar pejabat.

Kalau dilihat kepada situasi di atas, jelas menunjukkan bahawa sedikit sahaja situasi yang telah memulakan corak perhubungan yang suram. Bermula dengan persepsi dari cerita ceriti, dihangatkan dengan komunikasi yang salah pada masa yang tidak sesuai. Perhubungan antara dua pihak ini menjadi bertambah parah bila keduanya saling tidak mahu mengalah.

Macamana kalau mampu kita ubah situasi di atas kepada pandangan positif. Pengetua yang mendengar khabar angin tentang peribadi dan perangai guru tersebut tidak peduli dan tidak menghiraukannya sehingga pengetua sendiri melihat dan memerhati tingkahlaku tidak baik yang dikhabarkan kepadanya. Bagaimana kalau pandangan pertama tadi tidak dilihat secara negatif. Mungkin pengetua perlu berprasangka baik. Berseluar jeans dan berselipar, pada hari-hari bukan waktu persekolahan tidak perlu diukur secara menyeluruh pribadi guru tersebut. Apa akan jadi kalau sapaan pertama dijawab dengan senyuman. Mungkin hubungan menjadi lebih baik kalau guru tersebut tidak menjawab dengan sindiran yang tajam.

Suasana yang tegang pada pertemuan pertama ini akan membawa kepada bibit-bibit kerenggangan pada perhubungan seterusnya. Keadaan-keadaan beginilah yang mencetuskan konflik di sekolah. Konflik yang baru bermula ini akan terus berpanjangan. Seharusnya pengetua menerima dengan senyuman manis bagi setiap guru yang ditukarkan ke sekolahnya. Tanyalah masalah, tanyalah keperluan guru yang baru bertukar. Tanyalah masalah keluarganya. Tanyalah penginapannya. Panggilah pembantu tadbir. Minta uruskan soal gaji supaya dapat disegerakan pembayaran gaji di tempat baru. Mintalah seorang guru kanan untuk menjadi mentor kepada guru yang baru bertukar ini. Tanyakan kemahiran yang ada pada guru tersebut. Tunjukkan kegembiraan kepada kedatangan guru ini.

Kalau pengetua dapat berbuat begini sudah tentu guru baru tersebut dapat ditawan. Akhirnya pasti guru ini akan menjadi guru yang baik. Belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah buat.....insyaallah

0 comments:

Post a Comment