Semasa melaksana program sandaran bagi melengkapkan kursus NPQH di sekolah dulu, saya telah menjalankan satu aktiviti mega (melibatkan sekolah, PIBG, ibubapa dan masyarakat setempat) iaitu aktiviti keceriaan sekolah. Semasa saya membuat analisis keperluan, saya melihat satu isu strategik yang dihadapi di sekolah tersebut ialah keceriaan sekolah di tahap yang kritikal. Semasa saya melaporkan diri untuk program sandaran ini landskap sekolah berubah sama sekali. Pembinaan blok bangunan baru di seberang sungai yang selama ini menjadi sempadan pagar sekolah telah mengubah segalanya. Satu terowong kongkrit pasang siap sepanjang sungai ditutupi dengan tanah yang dikorek dari padang bola sekolah sedalam tiga kaki., menjadikan landskap sekolah berubah sama sekali berbanding dengan sebelumnya. Sementara blok bangunan baru yang sedang dalam pembinaan hampir siap sepenuhnya.
Semasa mencadangkan projek ini kepada pengetua sekolah, saya mendapat sokongan sepenuhnya daripada pihak sekolah. Saya bercadang untuk membina satu taman kaktus, dan menambah pokok bunga berpasu sebanyak 200 unit. Sepanjang jalan dari blok lama ke blok baru iaitu sepanjang lebih kurang 150 meter akan ditanam dengan manila Palm dengan jarak 3 kaki setiap pokok. Ibubapa akan dijemput untuk bergotong royong membina taman dan menanam pokok bunga tersebut. Saya telah menyediakan plan taktikal untuk memastikan perancang dapat dijayakan dengan sempurna. Semasa membentangkan plan tindakan tersebut dalam mesyuarat guru, ramai guru yang tidak yakin matlamat yang di rangka akan dapat dicapai. Tetapi ada sebahagian guru yang positif, yakin saya dapat menjalankan aktiviti dengan jayanya. Saya mencadangkan 200 pokok bunga pelbagai jenis siap berpasu akan dimohon daripada setiap warga Felda di mana sekolah ditempatkan. Ini yang menjadi keraguan sebahagian guru tentang keupayaan mendapat derma tersebut. Saya menjelaskan bahawa saya yakin, dengan penerangan yang jelas kepada semua pihak derma tersebut akan diperolehi.
Suatu hari semasa membuat tinjauan ke blok bangunan baru untuk projek keceriaan yang akan saya laksanakan, saya melihat sebuah kereta Mercedes mata belalang berhenti dan seorang lelaki separuh umur turun dan meninjau bangunan tersebut. Saya bertanya kepada salah seorang pekerja siapakah lelaki tersebut. Rupanya lelaki tersebut adalah kontraktor yang membina bangunan tersebut. Lalu kepala saya ligat memikir bagaimana saya boleh mendapatkan sedikit sumbangan kontraktor berkenaan untuk program hari gotong royong perdana yang akan saya jalankan nanti. Saya berpeluang menerangkan projek yang saya rangcang kepada tuan kontraktor tersebut.
“Kalau boleh saya nak mohon sedikit sumbangan air mineral untuk pelajar, guru dan ibubapa semasa projek gotong royong tersebut” rayu saya memohon simpati.
“Kalau perlu saya mohon secara resmi, bersurat” sambung saya lagi. Tuan kontraktor tersebut memandang saya tidfak berkelip. Berdebar juga rasanya. Salah ke permintaan saya. Atau masanya yang tidak tepat.
“Ramaikah ibubapa yang akan akan datang?”Tanya tuan kontraktor berkenaan sambil memandang saya.
“Saya jangka ibupa yang akan dijemput lebih kurang 50 orang, guru 35 orang dan pelajar sekolah lebih kurang 400 orang. Lebih kurang 500 botol air mineral yang diperlukan” jelas saya lagi.
“Ginilah…disebabkan saya telah dapat menyiapkan projek ini tepat seperti yang telah ditetapkan saya bercadang untuk mengadakan kenduri di sekolah ini. Apakata cikgu aturkan program kenduri pada hari gotong royong tersebut. Sebahagian bergotong royong membuat projek cikgu, sementara sebahagian lagi bergotong menyediakan makanan. Lepas bergotong royong, kita jamu mereka makan tengahari. Saya berikan RM2500.00, saya rasa cukup untuk sembelih seekor lembu..” jelas tuan kontraktor sambil tersenyum. Saya mengucapakan terima kasih yang amat kerana bonus yang tidak disangka-sangka ini memberikan ruang kepada saya untuk melaksanakan projek saya ini dengan lebih meriah. Kecik yang diminta, besar yang dapat. Minta air mineral dapat lembu…
Untuk memastikan projek saya ini dapat dijayakan dengan sempurna saya telah mengadakan perjumpaan dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan sokongan. Saya menghadiri mensyuarat PIBG untuk memberikan penjelasan dan memohon sedikit bantuan kewangan untuk menampung kos pengangkutan untuk memungut sumbangan pokok bunga dari masyrakat setempat. Saya juga telah memberikan penerangan dan penjelasan kepada pelajar dan meminta pelajar menjelaskan program ini kepada ibubapa mereka. Bersama sekumpulan pelajar saya menyiapkan sebuah banner untuk meransang ingatan dan kefahaman pelajar. Untuk memberikan penjelasan yang lebih kepada ibubapa saya juga menghadiri mesyuarat JKKR dan GPW Felda. Saya tidak menghadapi masalah dengan kumpulan-kumpulan ini kerana saya sering terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang danjurkan mereka. Selain daripada itu dua minggu sebelum tarikh kutipan pokok bunga yang akan didermakan oleh penduduk setempat, saya telah melekatkan iklan memohon sumbangan tersebut dan ditampal di kedai-kedai runcit dan tempat-tempat penting di seluruh kawasan Felda. Saya juga meminta kerjasama imam masjid untuk membacakan permohonan sumbangan di masjid sebelum sembahyang jumaat.
Akibatnya, dengan begitu cepat dan meluas berita aktiviti ini menjadi perbualan di kalangan penduduk. Sudah tentu ada yang memberikan sokongan dan yang pasti ada juga kelompok yang sentiasa negatif.
“Saya mana ada anak lagi kat sekolah. Semua anak saya telah habis sekolah. Saya tak perlulah bagi derma” kata seorang penduduk kampung. Saya tenang sahaja kerana saya telah siap sedia dengan jawapan-jawapan yang kongkrit.
“Apa salahnya anak pakcik tak ade yang bersekolah lagi. Sekolah nikan kat tempat kita. Patutlah kita berikan sokongan. Jelas saya sambil tersenyum.
“Malaslah aku nak bagi pokok bunga. Yang ada kat sekolah pun kering kontang tak bersiram. Tukang kebun sekolah malah-malas belaka” rungut seorang lagi bapa kepada salah seorang pelajar.
“Tak saya janji.., kalau tukang kebun tak siram, saya akan siram. Saya akan pastikan pokok bunga yang pakcik berikan sentiasa segar dan subur” saya bergurau sambil gelak.
Setelah semua selesai diatur. Jawatankuasa PIBG akan mengetuai aktiviti penyediaan makanan. GPW akan mengetuai gotong royong menyiapkan taman kaktus dan beberapa jawatankuasa lagi. Sehari sebelum gotong royong perdana dijalankan, saya dengan dibantu beberapa ahli PIBG bergerak dari rumah ke rumah memungut pokok bunga yang didermakan. Dengan berbantukan sebuah hella, dan menaiki lori kayu yang digayutkan dengan banner yang selama ini tergantung kat pagar sekolah, saya mengunjungi setiap buah rumah. Alangkah terkejutnya saya kerana hampir semua rumah telah bersedia dengan pokok bunga berpasu yang akan didermakan. Paling mengharukan, bukan satu pasu saya dapat dari sebuah rumah, malah ada ibubapa yng memberikan beberapa pokok bunga yang menjadi milik mereka selama ini. Bagi tuan rumah yang tiada di rumah, mereka telah letakan bunga yang akan didermakan ditepi-tepi jalan. Saya bercakap melalui hella dari atas lori seperti lori yang menjual perabut yang masuk ke kampung-kampung. Ibubapa siap berbaris di tepi-tepi jalan. Di suatu simpang saya ditahan oleh pakcik semalam yang kata taknak menyumbang kerana tak ada anaknya yang bersekolah.
“Cikgu dah lalu rumah saya?” Tanya pakcik tersebut.
“belum jawab saya” jawab saya ringkas.
“Nanti Cikgu pergi rumah saya. Kat tepi jalan ada pokok bunga kertas dalam 3 buah pasu. Sayang tau!, tapi sebab cikgu minta kita bagi lah..” jelas pakcik itu lagi
Terasa sakit pinggang mengangkat pokok-pokok bunga tersebut. Sebanyak lima kali penuh lori berulang alik ke sekolah dari rumah ibubapa.Jumlah pokok bunga yang berjaya saya kutip ialah sebanyak 420 bunga berpasu.Dari jam 8 pagi hingga jam 3.00 petang. Satu pencapaian yang jauh melebihi target. Pelbagai jenis kaktus juga telah berjaya dikumpul.
Esoknya satu gotong royong perdana telah diadakan. Yang besnya pengetua telah mengingatkan dalam perhimpunan sehari sebelumnya semua pelajar dibenarkan memakai tracksuit untuk melaksanakan aktiviti. Semua guru juga. Pengetua sendiri memakai tracksuit dan membawa sebilah cangkul. Kalau dah pengetua sendiri menggali lubang, cikgu dan ibubapa dan pelajar apatah lagi. Malu alahlah mereka. Suasana di sekolah cukup meriah. Kumpulan memasak kecoh di tempat mereka dengan gelak ketawa mengusik satu sama lain. Pelajar berulangalik dengan kereta sorong memunggah dan mengatur pasu-pasu bunga. Tengahhari jamuan telah siap. Semuanya befrjalan dengan lancar. Pokok Manila Palm hasil sumbangan GPW (Gerakan Peneroka Wanita) telah Berjaya ditanam dikiri kanan jalan masuk dan jalan ke blok bangunan baru. Pelbagai kaktus (10 jenis) juga sumbangan ibubapa Berjaya ditempatkan disebuah taman kaktus. Pokok bunga kertas berpasu disusun ditempat-tempat strategi. Serta merta landskp sekolah berubah. Ceria dan sedap mata memandang. Pokok-pokok bunga ini kemudiannya dijagai dengan baik oleh tukang kebun sekolah.
Suatu petang di hari minggu saya datang ke sekolah. Saya melihat dua orang makcik sedang menyiram pokok-pokok bunga yang ditanam semasa gotong royong hari itu.
“Tak payahlah makcik datang, saya akan jaga pokok bunga ini sehingga subur”kata saya sambil tersenyum melihat mereka.
“Eh, ni semua kan pokok bunga yang kita sumbangkan. Tentunya kita sayang. Lagi pun rumah makcik kan kat depan tu je... tak dek masalahnya” jawab makcik tersebut. Mereka dah rasa sekolah ini tanggungjawab mereka juga.
Alhamdulillah…
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments:
Post a Comment