Leadership dan Relationship

Apa yang saya ingin tulis ini lebih kepada cara bagaimana pengetua dapat menjalinkan hubungan dengan stake holders khususnya bagi pengetua yang baru melaporkan diri di sesebuah sekolah. Saya masih ingat lagi bagaimana pengetua saya yang selalu terbang tinggi di awan biru. Tidak boleh turun ke bawah. Akhirnya tidak mendapat kerjasama daripada masyarakat setempat. Kurang sokongan ibubapa. Tidak dapat duduk semeja dengan Pengurus-pengurus FELDA yang mana pelajar-pelajar dari FELDA tersebut adalah feeder kepada sekolah tersebut.

Perhubungan yang tidak mesra ini berlarutan sehingga menjejaskan aktiviti-aktiviti sekolah yang dirancang. Banyak perkara yang dirancang tetapi tidak dapat dilaksanakan. Banyak aktiviti yang dirangka tetapi tergendala. Kalau pun ada aktiviti yang berkaitan dengan ibubapa dilaksanakan tepai impaknya minimum. Mesyuarat-mesyuarat PIBG tidak dapat dijalankan. Mesyuarat Agung PIBG tidak mendapat sambutan. Kedatangan ibubapa sangat kurang. Majlis-majlis perjumpaan dengan ibubapa juga lengang.

Pada suatu hari, tanpa dijangka dan tanpa diduga, tiba-tiba sekolah dikejutkan dengan kedatangan 10 orang Nazir Persekutuan. Lima hari berkampung di sekolah. Semasa memberikan taklimat awal kepada pihak Nazir, pengetua memaklumkan banyak aktiviti tidak dapat dijalankan kerana pihak sekolah tidak mendapat kerjasama dengan pihak masyarakat setempat khususnya para ibu bapa. Banyak juga perkara lain yang dipantaulihat oleh pihak Nazir. Terutamanya proses P&P yang dijalankan guru. Guru-guru semua menikus. Semua focus kepada P&P di kelas masing-masing. Cikgu sampai lenguh-lenguh tangan membimbit ABM yang telah berabuk (Lama tak guna)Semua jadi rajin serta merta. Pelajar pun jadi heran, mengapa semua chegu cepat sampai bila loceng berbunyi.

Sebagai setiausaha PIBG, saya telah dipanggil oleh ketua rombongan Nazir. Saya diminta memanggil semua jawatankuasa PIBG ibubapa, semua Pengurus Felda, semua imam, Pengerusi JKKR dan Pengerusi GPW Felda. Perjumpaan yang diadakan di sebelah petang di library dihadiri sebahagian besar jemputan. Saya yang selalu datang ke sekolah kerana rumah saya berdekatan terserempak dengan pengetua. Pengetua yang rasa tidak sedap hati telah mengajak saya untuk turut sama dalam perjumpaan tersebut. Kami masuk semasa mesyuarat sedang dijalankan.

“Perjumpaan ini dijalankan secara tertutup. Hanya mereka mendapat jemputan sahaja perlu ada di dalam bilik ini. Sesiapa yang tidak mendapat surat jemputan, sila keluar” Tegas sekali suara Ketua Nazir tersebut memberikan arahan. Saya memandang kearah pengetua. Mukanya berubah warna. Merah, biru, kuning, hijau dan segala macam warna dan rasa terus bangun meninggalkan majlis tersebut. Saya yang juga terasa malunya bangun dan terus keluar. Sebenarnya saya tahu perjumpaan ini hanya antara nazir dengan pemimpin-pemimpin tempatan tanpa ada kehadiran guru. Sebab itu saya berat hati nak masuk tadi. Saya pun tidak bersedia. Datang tadipun pakai selipar.

Jadi kami semua tidak tahu butir bicara perjumpaan tersebut. Tetapi dalam taklimat akhir jemaah nazir, ada juga kiasan-kiasan yang meminta warga sekolah mewujudkan suasana mesra dengan masyarakat sekitar. Tidak lama kemudian pengetua saya tadi bertukar ke satu kawasan lain.Penggantinya adalah seorang yang dibawa dari luar kawasan.

Hari pertama pengetua datang ke sekolah, beliau telah mengajak saya ke rumah pengerusi PIBG. Saya terfikir, adakah pengetua baru ini tahu masalah yang dihadapi oleh pihak sekolah sebelum ini.

“Saya datang ini untuk melaporkan diri kepada tuan sebagai pengetua baru sekolah. Jadi saya percaya, sebagai orang baru saya perlu jumpa tuan. Tanpa bantuan pihak tuan saya percara saya tidak boleh menguruskan sekolah dengan baik”. Bla….bla…bla dan banyak lagi kata merendah hati serta berhamburan kata-kata pujian kepada YDP PIBG sekolah. Terkedu YDPG PIBG, Matanya terkebil-terkebil. Terlayang-layang ke utara.

Esoknya, rumah pak imam. Tulat jumpa Pengurus Felda, Tulim, jumpa GPW dan seterusnya. Sayalah pemandu arah kepada pengetua untuk melakukan kunjungan hormat ini. Last sekali pengetua tanya saya sapa orang paling gedebe di kawasan tersebut. Hairan saya, mengapa pengetua bertanya demikian. Rumanya orang gedebe dan berpengaruh juga termasuk dalam senarai pengetua untuk dikunjungi.

“Saya ni sebatang kara kat sini. Tak ada sedara mara. Belum ada rakan kenalan lagi. Jadi dengan abanglah saya datang menyerah. Saya tahu kat sini sekali saja abang berdehem, semua orang cabut lari. Saya harap saya boleh mengadu dengan abang kalau apa-apa yang berlaku ke atas saya” baik punya tusukan kata-kata pengetua. Gedebe macamana pun, hancur. Luluh jiwa raga bila kena pujuk dan puji begitu. Dalam hati, saya berkata pengetua memang pandai mewujudkan relationship dengan masyarakat. Apabila relation telah wujud maka lebih mudah pula proses leadership hendak dilaksanakan.

Semenjak hari itu, hubungan antara sekolah dengan ibubapa berubah menjadi semakin baik. Aktiviti-aktiviti yang dirancang mendapat kerjasama sepenuhnya. Gotong royong yang diadakan penuh dengan ibubapa dan guru. Mesyuarat agung PIBG, kehadiran ibubapa penjaga melimpah ruah ke luar dewan. Dan yang paling penting relationship dan leadership yang diwujudkan oleh pengetua dikalangan guru, ibubapa dan pelajar telah melonjakkan keputusan peperiksaan awam sekolah ke tingkat yang paling tinggi dalam sejarah sekolah. Kesimpulannya, kejayaan sekolah adalah adunan daripada gabungan pelbagai faktor. Paling penting hubungan (relationship) dengan masyarakat setempat dan ibu bapa perlu dalam keadaan yang baik dan memuaskan. Dengan itu proses kepimpinan dan pengurusan (leadership) akan menjadi lebih mudah. Kepada pengetua yang baru melaporkan diri ke sekolah-sekolah yang baru, lakukanlah kunjungan hormat kepada ketua-ketua masyarakat. Rendahkanlah hati untuk menemui mereka. Rendah hati tidak bermakna rendah diri. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

0 comments:

Post a Comment