Kasut Di atas Bumbung Sekolah

Sekolah saya ini sebuah sekolah di luar bandar. Sebuah sekolah di kawasan felda. Kemudahan asasnya agak terhad. Walaupun jalan ada yang berturap tetapi tidak sepenuhnya. Walaupun bekalan air paipnya ada namun banyak hari tiada air daripada ada. Kemudahan telefon ada dan banyak juga kemudahan lain disediakan kerajaan tetapi sebenarnya lebih banyak lagi yang diperlukan.

Masalah selut tanah merah adalah lumrah terutama semasa musim hujan. Habis kelas dan kawasan lain cemar bila kasut pelajar yang diselaputi tanah merah diecerkan di merata tempat. Tandas merupakan satu lagi tempat yang sering menjadi kotor bila keadaan ini berlaku. Tandas yang sedia kotor menjadi lebih kotor dengan kehadiran selut tanah merah. Namun begitu ketidaksempurnaan tandas ditambah dengan kekotoran bukan menjadi penghalang kepada sekumpulan pelajar berkumpul dan menghisap rokok. Sudah pelbagai cara telah saya lakukan untuk melaksanakan tugas saya sebagai guru disiplin sekolah untuk mengatasi masalah ini. Namun semuanya tidak berhasil.

Ada sekali semasa saya menyerbu ke tandas lelaki terutamanya, saya terfikir untuk melaksanakan peraturan peraturan membuka kasut bila ke tandas. Saya berbincang dengan pengetua sekolah dan pengetua yang sentiasa sedar masalah tandas yang sering dihadapi oleh saya khususnya sebagai guru disiplin, tidak keberatan untuk memberikan peluang kepada saya untuk mencubanya.

Sebelum peraturan ini dilaksanakan saya memberikan taklimat kepada pengawas sekolah untuk mengetuai upacara membersihkan sepenuhnya tandas utama pelajar di sekolah. Saya bernasib baik kerana diberikan sekumpulan pengawas sekolah yang amat komited. Segalanya berjalan lancar. Tandas dibersihkan hingga berkilat. Diletakkan bau-bauan lagi. Saya membeli sepuluh pasang terompah kayu, lima untuk tandas lelaki dan lima pasang lagi untuk tandas pelajar perempuan. Dalam perhimpunan mingguan saya diberikan kuasa oleh pengetua sekolah untuk memberikan penerangan secukupnya kepada pelajar berkenaan dengan peraturan baru ini.

Dengan penerangan yang jelas, bukan hanya pengumuman di perhimpunan tetapi juga penerangan bertulis yang ditampal disetiap kelas menjadikan penguatkuasaan peraturan ini dapat dijalankan dengan licin dan lancar. Dalam seminggu sahaja perbezaan yang jelas dapat dilihat. Minggu sebelumnya tandas menjadi tempat berkumpul pelajar nakal kini tidak lagi. Dulunya tandas sekolah sangat kotor kini bersih bersinar. Peraturan yang dilakukan telah menjadi serampang dua mata yang dapat menyelesaikan dua masalah dalam satu masa. Tandas menjadi bersih sebab tida kotoran yang dibawa oleh kasut pelajar yang kotor. Pelajar terpaksa memakai terompah. Pelajar tidak lagi berkumpul kerana mereka terpasa membuka kasut dan memakai terompah. Ini tidak digemari pelajar. Lagi pun kalau mereka ramai di tandas, mudah untuk saya mengesanya melalui jumlah kasut yang ada di luar tandas.

Memang terdapat rungutan pelajar semasa proses membiasakan diri dengan peraturan baru ini tetapi lama-kelamaan ia menjadi perkara biasa. Tandas kekal wangi, bersih dan harum. Banyak juga sekolah yang menghantar wakil pengawasnya untuk melihat dan meninjau keberkesanan peraturan yang telah dijalankan. Tetapi macam biasalah tidak semua masalah yang sama disekolah yang berbeza dapat diselesaikan dengan satu cara yang sama. Lain tempat lain cara penyelesaiannya. Sebab itu bila mencedok program yang dilaksanakan dengan jayanya di sekolah lain, belum tentu kita dapat menjayakannya dengan berkesan di sekolah kita. Penyelesaian sesuatu masalah perlu mengambil kira lokasi dan situasi setempat.

Berbalik kepada kisah tadi, satu hari semasa membuat pemeriksaan mengejut ke tandas lelaki, saya seperti peraturan yang termaktub, membuka kasut dan masuk ke tandas memakai terompah. Kebetulan pulak tiada seorang pun pelajar dalam tandas pada masa itu. Setelah berpuas hati, dengan kebersihan dan keceriaan tandas saya terus keluar. Alangkah terkejutnya saya setelah mendapai kasut saya hanya tinggal sebelah. Puas saya mencari sekeliling namaun hampa tidak berjumpa. Saya bertanyakan juga pelajar yang lalu lalang, adakah mereka terlihat kasut saya. Semuanya tidak tahu. Lalu saya menjinjing sebelah kasut dengan memakai teropah menjelajah setiap kelas. Memberikan tempoh sehingga petang untuk pelajar yang mengambil kasut saya untuk memulangkannya. Kalau tidak sesuatu yang buruk bakal terjadi kepada mereka. Sebenarnya pelajar percaya ada sesuatu yang istimewa dalam diri saya disebabkan beberapa kebetulan dan lakonan yang saya tunjukkan kepada pelajar saya. Semua ini dan banyak lagi akan saya ceritakan dalam tulisan yang akan datang. Saya tulis nipun bukan berturutan peristiwa, tetapi mengikut apa yang teringat dan terlintas di kepala saya sahaja.

Seperti biasa semua pelajar kecut, diam tidak berkata-kata semasa saya menjelajah kelas mereka. Petang itu semasa saya sedang minum petang di rumah, kedengaran orang memberikan salam. Saya keluar dan melihat Ketua Pengawas sekolah saya menjinjit satu beg plastik.

"Cikguy saya nak minta maaf. Ni ada saya bawakan kasut cikgu sebelah lagi" beritahu Ketua Pengawas sekolah saya dengan suatu takut-takut.

"Hebat kamu! macamana kamu boleh dapat kasut ini. Tak sia-sia saya melobi kamu sebagai ketua pengawas" puji saya sambil mengambil beg plastik yang diunjukkan oleh Ketua Pengawas sekolah saya.

"Mintak maaf cikgu... sebenarnya saya yang menyorokkan kasut cikgu" balasnya terketar-ketar.

"Saya ingat kasut ni Hamizan punya. Saya cuma nak bergurau dengannya, tetapi bila cikgu dah warning kat kelas, saya jadi takut dan diamkan saja"
"Balik sekolah saya ambik untuk pulangkan kepada cikgu" sambung beliau lagi.

"Kat mana kamu sorok?, puas saya mencarinya" tanya saya sambil tersenyum.
"Saya lempar kat atas bumbung Gajah Menyusu" dia mula tersenyum setelah melihat saya tidak marah.

Sambil minum petang bersama di rumah saya kami gelak bersama-sama sambil mengulang cerita pagi tadi. Esoknya Semasa perhimpunan pagi saya membuat pengumuman dengan mengucapkan terima kasih kepada seseorang yang telah memulangkan kasut saya. Ketua Pengawas sekolah saya tersengih-sengih memandang saya . Sehingga kisah ini diceritakan semua hari ini cerita sebenar kasut saya hilang dan kembali semula menjadi rahsia kami berdua.

0 comments:

Post a Comment