Antara HP dan Remote TV

Semasa sampai di Tol Chenor, baru saya perasan saya tidak membawa hp. Oleh kerana masa sudah agak lewat, saya tidak bercadang untuk pusing semula ke rumah yang jaraknya lebih kurang 40 km. Lagi pun Minhad sudah memaklumkan untuk servis keretanya terlebih dahulu dalam perjalanan ke Melaka. Kalau pusing balik semula ke rumah ini akan mengganggu lagi masa ke Melaka yang kian suntuk. Lagi pun saya berfikir, kalau ada apa-apa kecemasan isteri saya boleh menghubungi saya melalui telefon Minhad.

Nak dijadikan cerita, kursus pada hari terakhir termakan sedikit masa perasmian penutup. Maka perasmian penutup termakan masa makan tengah hari dan masa pendaftaran keluar hotel. Sepatutnya masa checkout ialah jam 12.00. Kami diminta checkout terlebih dahulu sebelum makan tengahari. Di Lobby, sudah kelihatan ramai pelanggan resort yang sedang menunggu bilik mereka. Masa tu juga nak bergambar kenangan kursus. Kelam kalibutlah jadinya.

Sebaik sahaja majlis mengambil gambar tamat kursus, saya bergegas ke kaunter untuk update kunci dan tergesa-gesa ke bilik untuk mengemaskan barang. Semua pakaian, yang telah atau belum dipakai dimasukkan secara bercampurgaul dalam beg. Barang-barang keperluan peribadi, sikat, minyak rambut, gunting kecil, dan bermacam barang lagi bersepah di atas meja. Semua barang-barang ini saya pakai ambil je dan terus masukkan dalam beg kecil saya saya bawa khas untuk mengisi barang-barang keperluan peribadi tersebut.

Sampai di rumah, semasa menanggalkan pakaian, baru saya perasan saya telah terbawa balik remote tv resort. Saya tak pasti entah bila masanya saya memasukkan remote tv tersebut ke dalam poket selaur saya. Isteri serta anak-anak saya tergelak besar bila saya katakan mungkin saya secara tidak sedar menganggap remote tv tersebut adalah hp saya. Sedangkan saya tidak membawa hp saya. Malu saya pada diri sendiri dan anak-anak. Saya berjanji dengan anak-anak serta isteri saya untuk memulangkan remote tv tersebut melalui pos.

"Berapa juta agaknya pihak resort akan berikan hadiah kerana kejujuran ayah mengakui kesilapan dan memulangkan semula remote tv tersebut" kata Along sambil menekan-nekan perutnya menahan ketawa.

"Kalau Datin Seri Romah Mansoor, isteri Perdana Menteri mendapat RM7 juta kerana jujur memulangkan koleksi peribadi putera Arab saudi, Ayah dapat RM1 juta pun cukuplah" sambung Along lagi sambil disambut gelak beramai-ramai anak-anak dan isteri saya.

Saya turut gelak sambil berazam untuk memulangkan remote tersebut secepat mungkin....

0 comments:

Post a Comment