Entah pengaruh mana yang meresap, menjadikan kegilaan pelajar memakai seluar yang berkaki besar. Walaupun tidak ramai yang terikut-ikut, namun beberapa orang pelajar yang dianggap kepala di sekolah mula menjadi perhatian pelajar-pelajar yang lain. Sebagai guru disiplin sekolah, saya melihat fenomena ini bukanlah suatu masalah yang besar. Ia sekadar perubahan fesyen. Kegilaan semasa. Trend terkini masa itu. Saya hanya menasihati pelajar untuk mematuhi peraturan sekolah memakai uniform sekolah yang lengkap dan betul mengikut peraturan sedia ada. Kalau nak ikut ketetapan dalam buku peraturan sekolah luas kaki seluar yang dibenarkan adalah 18 inci sahaja. Tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang. Tetapi kerana trend konon ada pelajar yang memakai seluar yang mana luas kakinya menutup keseluruhan kasut. Trend ini yang digayakan oleh bebrapa orang pelajar ini merimaskan sebilangan guru, kerana pelajar-pelajar ini adalah kaki ronda sekolah. Jadi mereka akan keterlihatan dimana-mana.
Beberapa orang guru membangkitkan masalah ini dalam mesyuarat disiplin menyebabkan satu cadangan telah dipersetujui iaitu membuat spotcheck. Maka pada hari itu selepas waktu rehat, beberapa orang guru dan pengawas mengadakan spotchek dari kelas ke kelas. Semua kelas telah diserbu. Dari senarai semak yang ditunjukkan oleh ketua pengawas, saya agak ramai juga pelajar yang telah dikategorikan memakai seluar yang menyalahi peraturan sekolah.
"Cikgu, saya jumpa seluar ini dalam tandas pelajar lelaki" tiba-tiba salah seorang pengawas saya membawa masuk sehelai seluar yang berlipat kemas. Saya memeriksa seluar yang diunjukkan oleh pengawas saya.
"Seluar sapa?" tanya saya.
"Taktahu cikgu, saya jumpa dalam tandas" beritahu pengawas tadi.
Seluar hijau yang hampir lusuh itu memang menyalahi peraturan sekolah. Bahagian atas kecik sementara bahagian bawahnya pula besar dan lebar. Saya memberikan seluar tersebut kepada pengawas untuk disimpan di dalam almari berkunci.
Petang itu, kebetulan saya ke bandar T untuk menguruskan bayaran ansuran bulanan kereta. Emak Pian telah datang ke rumah saya dengan berpeluh pelai mengamuk sakan meminta seluar anaknya dikembalikan.
"Makcik nak balik seluar anak makcik, cikgu jenis apa ini sanggup merampas seluar anak murid sendiri." Marah makcik Jah tak boleh dibendung lagi. Isteri saya yang tidak tahu butir bicara terpinga-pinga. Terkedu. Tak tahu nak kata apa. Memang dia tak tahu sebab dia hanya seorang surirumah yang tidak pernah pun mencampuri urusan saya di sekolah.
"Saya tak tahu makcik, Cikgu Azmi tidak tidak pesan apa-apa kepada saya"
"Setahu saya tiada pun seluar yang dibawa balik tengahari tadi" Sambung isteri saya lagi.
"Apa jenis cikgu nih, zalim!"
"Zalim lebih daripada Israil!, Israil pun tak buat macamana ini! Boleh rampas seluar anak makcik pastu suruh balik tak pakai seluar. Anak makcik malu dalam bas, tutup bahagian bawah dengan kaki baju"Makcik Jah melepaskan marahnya yang meluap-luap sambil menggayakan cara anaknya berjalan sambil menarik kaki baju menutup bahagian bawah.
"Selagi makcik tak dapat balik seluar anak makcik, makcik tak akan balik. Ini nasib baik makcik datang, kalau ayahnya datang habis cikgu dikerjakannya"
"Betul makcik, saya tak tahu. Cikgu Azmi gi bandar, nanti petang baru dia balik. Nanti kalau dia balik saya suruh dia hantarkan ke rumah makcik" Isteri saya masih bingung. Anak saya yang baru berumur dua tahun mula menangis. Tak tahulah, mungkin terkejut melihat nenek dia mengamuk sakan. Isteri saya mendokong anak saya sambil gaya (pujuk) anak saya supaya senyap. Anak saya semakin kuat menangis. Takut agaknya..
Disebabkan anak saya sudah tidak makan dek pujuk menyebabkan isteri saya membawa masuk anak saya ke dalam rumah meninggalkan makcik Jah membebel sendirian di halaman rumah saya. Entah pukul berapa dia balik tak taulah. Mungkin dah puas membebel sendiarian tanpa dilayan. Tah malu pada diri sendiri, akhirnya makcik Jah balik juga ke rumahnya tanpa kesampaian hajat.
Sesampainya saya dirumah isteri saya pula membebel kerana dikatakan mendera pelajar saya balik sekolah menaiki bas tanpa seluar. Saya bingung terpinga-pinga. Lama juga saya pana, baru teringat seluar yang ditemui pengawas saya di tandas. Malam itu tak lelap tidur saya dibuatnya. Maklum sajalah, dikatakan jahat melebihi Israel. Macamana nak tidur. Dok pikir apa nak dibuat esok.
Esoknya, pagi-pagi lagi, selepas waktu persekolahan bermula saya membuat pengumuman memanggil Pian ke pejabat sekolah. Masa tu pejabat tengah sibuk dengan cikgu-cikgu lain keluar masuk mengambil kapur, buku kedatangan pelajar dan sebagainya.
"Semalam awak balik ke rumah dari sekolah pakai seluar mana? tanya saya keras. Tangan kanan saya mula terangkat-angkat. Macam tak boleh tahan lagi. Saya bercekak pinggang. Pengetua yang keluar dari biliknya tercegat di muka pintu. Tak terkata apa-apa. Beberapa orang guru lelaki yang kebingungan mengelilingi saya. Mereka dah tahu, budak ini kalu salah jawab boleh pekdah..Pian diam dan tunduk. Mukanya dah mula pucat.
"Seluar mana?" tengking saya lantang. Kecoh pejabat jadinya.
"Seluar nilah..." jawab Pian sambil menunjukkan seluarnya dipakainya dengan isyarat mulut.
Panggg.. sebiji penampar tangan kanan hinggap di pipi kiri Pian. Tersenggeng Pian kena penampar tunggal. Tangannya pantas menutup bahagian pipinya yang merah.
"Habis kenapa emak awak kata saya rampas seluar awak dan menyuruh awak balik tanpa pakai seluar? Tengking saya lagi.
"Saya gurau saja dengan mak saya, masa dia terserempak dengan saya di dalam rumah saya baru keluar bilik air. Saya tarik baju tutup bahagian bawah. Sebab malu. Dia tanya saya kenapa. Saya kata cikgu ambil seluar saya. Dia yang lebih-lebih. Saya bergurau saja." jelas Pian terketar-ketar.
"Saya tak tahu dia pergi umah cikgu" sambung Pian lagi.
"Habis bila masa awak tukar seluar kat tandas semalam" Saya serkap jarang. Mengagak seluar yang ditemui dalam tandas adalah milik Pian.
"Masa cikgu buat spotcheck, kebetulan saya ada di tandas. Jadi saya buka seluar yang itu dan tinggal dalam tandas"
"ooo..., jadi awak pakai seluar dua lapis lah?" tanya saya lagi.
"Ya.." jawab Pian perlahan.
"Ok, petang nanti, saya nak pegi rumah awak. Saya nak jumpa mak awak. Biar dia tahu perangai awak." ugut saya.
"Tak payahlah cikgu biar saya settle dengan mak saya..." balas Pian ketakutan.
Petang tu saya pergi jugak ke rumah Pian di kampung berhampiran. Makcik Jah menangis bila saya ceritakan perkara sebenar. Tidak putus-putus dia minta maaf. Ayah Pian yang mengajar silat dikampungnya beberapa kali menggeleng kepala. Saya berpesan kepada ayah Pian agar tidak mengambil tindakan kepada Pian. Saya mengaku telah terlepas tangan menamparnya bukan atas kesalahannya memakai seluar yang menyalahi peraturan sekolah tetapi kerana menipu emaknya. Ayah Pian tak kisah. Katanya dia tak kesah cikgu nak buat apapun kepada Pian kalau dia melakukan kesalahan
"...asal jangan patah dan buta saja cikgu" Ayah Pian memberikan kebenaran untuk mendidik Pian. Sejak hari itu saya sering mengambil berat terhadap Pian. Dan Pian pun mula berubah. Tidak lagi keterlaluan nakalnya. Kalau nampak saya, dia malu alah.
Satu hari saya ke Hospital HTAA, saya disapa dari belakang cikgu Azmi.. Bila saya toleh, saya lihat Pian. Saya masih kenal kerana rupanya tidak berubah, cuma badannya semakin gempal. Saya tak sempat berbual panjang sebab bergegas ke bilik kecemasahan kerana anak saya akan mengalami kecederaan semasa bermain bola sepak di sekolahnya. Pian banyak membantu saya menguruskan anak saya di bilik kecemasan dan di wad. Terima kasih Pian.
Hari ini bila saya teringat dan menulis cerita ini, saya berfikir panjang. Bagaimana saya menjalankan tugas saya sebagai guru disiplin masa itu. Banyak tindakan yang saya lakukan sebenarnya menyalahi peraturan sedia ada. Mengapa pengetua saya yang sepatutnya bertindak mengawal saya membiarkan sahaja saya menyelesaikan sesuatu masalah mengikut selera saya. Kalaulah jadi apa-apa masa itu, nahas saya. Tapi masa itu semuanya boleh. Kepada ibubapa selidiki dulu aduan anak-anak, belum tentu betulnya.... Untuk pengetua-pengetua sekolah pesan saya, dalami, perhalusi dan ambil tahu tentang undang-undang pendidikan di sekolah. Kut-kut nanti puas berulang ke mahkamah..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments:
Post a Comment