Aktiviti Luar

Pagi itu pagi isnin. Perhimpunan rasmi sekolah. GPK 1 sedang berucap. Tiba-tiba salah seorang pembantu tadbir sekolah memanggil saya. Ada panggilan telefon katanya. Saya bergegas ke pejabat. Rupanya ada ibubapa yang perihatin memberitahu ada sekumpulan pelajar berada di kawasan rumahnya. Pelajar-pelajar yang ponteng perhimpunan. Pelajar yang takut spot check. Atau pelajar-pelajar yang dah bosan dengar potpet-potpet saban minggu. Pelajar-pelajar ini sebenarnya bukan berniat untuk ponteng sekolah. Lepas perhimpunan nanti mereka akan menyusup masuk melalui lubang-lubang pagar belakang sekolah dan belajar seperti biasa. Tetapi itu kebiasaannya. Itulah yang berlaku saban minggu. Sekumpulan pelajar lelaki ponteng perhimpunan. Puas sudah saya memintas. Taknak juga masuk. Penat sudah saya melibas. Tak jugak serik. Kalau saya tanya mereka tak menjawab. Takut kot. Tapi kalau cikgu lain tanya, mesti tak suka cikgu berleter. Cikgu marah-marah…

Saya meminta kebenaran pengetua untuk melihat pelajar-pelajar saya yang ponteng perhimpuanan bersama beberapa orang cikgu lelaki. Kami berjalan kaki sahaja ikut pintu pagar belakang sekolah. Kawasan rumah tempat pelajar-pelajar tadi berkumpul lebih kurang 200 meter dari sekolah. Dari luar jelas kedengaran suara GPK1 sedang memberikan ucapan. Rupanya selama ini kami di sekolah tidak perasan, bahawa penggunaan pembesar suara di sekolah akan dapat didengari dengan jelas di kawasan perumahan penduduk kampong. Macamanalah perasaan mereka agaknya bila mendengar cikgu berleter pada anak-anak mereka saban minggu. Cuak juga rasanya mereka. Yalah kadang-kadang kita sebagai orang dalam pun kadang-kadang pening memikirkan cara beberapa orang guru mengendalikan perhimpunan rasmi sekolah. Yalah seperti yang saya sebut sebelum ini, perhimpunan rasmi menjadi medan untuk memarahi, mengutuk dan menyindir pelajar yang melakukan disiplin. Sedangkan mereka yang tidak melakukannya akan dipaksa mendengar leteran sedangkan mereka yang melanggar disiplin belum tentu ada dalam perhimpunan tersebut.

Saya dan kawan-kawan secara senyap-senyap menyusup di celah-celah rumah peneroka. Meninjau-ninjau. Mengintai kedudukan pelajar-pelajar saya. Dari jauh kedengaran sayup-sayup suara pelajar saya borborak dengan sesekali terdengar deraian ketawa. Kami memerhatikan gelagat pelajar-pelajar sedang berkumpul dalam satu kelompok besar . Duduk mencangkung sambil berborak di halaman sebuah rumah peneroka. Satu kelompok lagi duduk di birai jalan. Entah apa diceritakan mereka. Jumlah semua pelajar-pelajar ini lebih kurang 15 orang. Dalam jarak 70 meter salah seorang daripada pelajar ternampak kelibat kami di belakang rumah tempat mereka berkumpul. Tanpa memberikan amaran kepada kawan-kawannya pelajar tersebut terus bingkas dan lari lintang pukang. Kami tidak pula berniat hendak mengejarnya. Kami bimbang, kalau kami kejar dan berlaku apa-apa kecederaan, kami juga yang akan dipersalahkan. Kami hanya hendak mengecam beberapa orang pelajar sahaja. Kami sempat mengecam beberapa orang pelajar sahaja. Dan ianya sudah mencukupi. Tugas kami untuk mengenalpasti pelajar lain akan dibantu oleh pelajar-pelajar ini nanti.

Apabila seorang daripada pelajar tersebut lari, secara serentak semua pelajar lain lari lintang pukang. Mereka sudah sedia maklum. Tentu cikgu datang menyerbu…Saya dan kawan-kawan berjalan menuju ke tempat pelajar tadi berkumpul. Kami hanya tersenyum dengan gelagat pelajar-pelajar tadi. Di rumah sebelah saya lihat seorang makcik India sedang berdiri di hadapan tandas dengan tangannya memegang baldi. Seperti nak masuk ke tandas di sebelah rumahnya. Pada masa itu tahun-tahun awal 90an, masih banyak rumah peneroka yang masih dalam keadaan asal. Belum diubahsuai. Kebanyakan tandas di luar rumah. Tandas curah! Saya memandang kearah makcik India tersebut. Dia memandang saya dan memberikan isyarat dengan memuncungkan mulutnya menunjuk-nunjuk kea rah tandas di tepi rumahnya. Saya faham bahawa ada pelajar saya yang sedang bersembunyi di dalamnya… Mungkin makcik tersebut takut memberitahu kami secara terbuka. Saya menghampiri tandas tersebut, tak terdaya saya hendak menahan ketawa.

“Bang!, cepat sikit, Aci dah tak tahan nak buang air ni!. Kenapa lama sangat? Cirit ke? Tanya saya sambil gelak. Kawan-kawan saya yang lain terbahak-bahak ketawa menyaksikan peristiwa yang tidak diduga tersebut. Tiba-tiba keluarlah tiga orang pelajar saya daripada tandas tersebut.

“Ya Allah, sampai tiga orang sekali. Macamana kamu buang air, sampai tiga orang serentak. Ke kat dalam ada tiga mangkuk tandas” tanya saya sambil menahan ketawa.

Pelajar-pelajar tingkatan empat tersebut menuju ke arah saya tanpa dipanggil sambil tersipu malu. Muka mereka merahnya menyala. Entah malu ke atau takut kena sepak. Saya kenal semua pelajar tersebut kerana saya mengajar mereka mata pelajaran ekonomi asas. Aci tersebut masih tercegat di hadapan pintu tandas. Tak jadi masuk.. Malu kat kami kot, kerana kami ada berhampiran. Saya mengarahkan pelajar-pelajar tadi masuk ke sekolah dan menunggu dibilik saya sehingga saya datang. Saya dan guru-guru yang bersama-sama saya tadi memungut beberapa buah beg yang tidak sempat dibawa bersama ketika pelajar-pelajar saya tergesa-gesa melarikan diri. Kami berjalan ke arah pelajar-pelajar saya melarikan diri tadi menyelinap antara rumah-rumah peneroka.

Di hadapan sebuah rumah tercegat sorang peneroka. Memandang kami kehairanan. Sambil terseyum dia menyapa..

“Kenape cikgu? Ada aktiviti luar dengan bebudak ke? Tanya pakcik tersebut dalam loghat Pahang.

“Aktiviti luar apanye Pak Anjang, budak-budak ni ponteng. Tak masuk perhimpunan tadi. Bila nampak kami mereka cabut. Tu yang lintang pukangnya..” jawab saya. Pakcik ni dikenali dengan pak Anjang sebab dia kurus tinggi. Dah jadi biasa. Gelaran di Feldanya gitu..

“Eh, tadi saya nampak salah seorang daripadanya macam anak saya!.., tak apa cikgu , cikgu tak payah cari, biar saya cari budak-budak tu. Cikgu tunggu kat sekolah. Sekejap lagi saya hantar anak saya” Nampak sangat Pak Anjang dah mula marah. Mukanya dah merah, marah dan malu kepada kami kot? Saya berbincang dengan kawan-kawan dan kami semua berpatah balik ke sekolah. Ada empat buah beg yang pelajar tinggalkan semasa melarikan diri tadi kami bawa balik. Nanti pelajar-pelajar tersebut akan dating menyerahkan diri.

Tidak lama selepas kami balik ke sekolah, kelihatan di hadapan pintu pagar sekolah beberapa orang pelajar berjujuk masuk ke sekolah. Di belakang kelompok pelajar tersebut kelihatan Pak Anjang dengan motosikalnya bergerak perlahan. Seperti gembala sedang mengiringi ternakannya. Membonceng di belakang Pak Anjang ialah anaknya yang tunduk malu. Saya menunggu Pak Anjang di hadapan kantin sekolah.

“Ni, cikgu! Saya serahkan anak saya. Cikgu buatlah apa yang patut!. Saya dah sepak mukanya tadi.” Rengus Pakcik Anjang bengkeng. Memang Pak Anjang bengkeng orangnya. Dia di kenali dikenali di sini sebagai seorang yang baran.. Saya cuba menyabarkan Pak Anjang. Saya mengarahkan pelajar-pelajar tadi termasuk anak Pak Anjang ke bilik disiplin untuk mencatatkan kes melalui salah seorang guru jawatankuasa disiplin yang telah menunggu di bilik disiplin. Saya lihat muka anak Pak Anjang lebam di pipi. Bibirnya bengkak berdarah..

Saya mengajak Pak Anjang minum kat kantin sekolah.

“Saya harap Pakcik Anjang janganlah diapa-apakan budak tu” saya cuba mententeramkan Pakcik Anjang.

“Saya betul-betul ingat cikgu ada aktiviti luar tadi.. tak sangka rupanya anak saya ponteng..”jelas Pakcik Anjang sayu

Dalam hati saya, nak gelak ada , sedih pun ada…….

0 comments:

Post a Comment