Biarlah Ia Menjadi Rahsia

Suatu ketika, di suatu masa dahulu, di zaman-zaman 'jahiliah aku' dulu, pada tahun-tahun 1990an, ada satu kes yang mencetuskan suasana kecoh di sekolah lama saya. Masa itu saya baru setahun menjadi guru disiplin sekolah ini. Sejak saya datang dan mengajar di sekolah ini, saya terus dinamakan sebagai pengganti guru disiplin lama yang melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya pun tak tahu mengapa saya dipilih. Muka saya ni kut? Jenis payah nak senyum dan nampak samseng. Nampak je samseng tapi hatinya baik...

Suatu hari seorang guru kelas tingkatan 3 datang berjumpa dengan saya untuk meminta tolong saya pergi ke rumah seorang pelajar kelasnya yang telah dua bulan tidak hadir sekolah. Surat-surat amaran telah dihantar tetapi tidak mendapat reaksi daripada pelajar ini.

Tengahari itu selepas balik sekolah, saya terus pergi ke rumah pelajar tersebut yang tinggal di kawasan lain. Kebetulannya pula kampung pelajar saya ini sebelah kawasan tempat tinggal saya. Saya cuba membayangkan rupa pelajar saya ini..., yang mana satu?, saya sendiri tidak pasti yang mana satu pelajar ini. Saya sendiri tidak pernah mengajar tingkatan 3, itu sebabnya saya tidak tidak berapa cerap pelajar tersebut. Saya mencari-cari alamat rumah pelajar tersebut seperti yang diberikan oleh guru kelas pelajar itu. Sesampainya saya di rumah seperti yang di berikan alamatnya, saya dapat melihat kelibat seseorang terjun dari bahagian belakang rumah terus ke kebun kelapa sawit di belakang rumahnya.

"Assalamualaikum pakcik!" saya memberikan salam kepada seorang lelaki separuh umur yang sedang bersandar kepada jenang pintu rumahnya sambil menghisap rokok daun.
"waalaikumussalam" jawab pakcik tersebut acuh tak acuh tanpa memandang ke arah saya.

Saya memperkenalkan diri kepada pakcik tersebut dan bertanyakan tentang anaknya yang telah lama tidak hadir ke sekolah. Pakcik tersebut dengan muka masam dan selamba memberitahu saya bahawa anaknya tidak mahu lagi ke sekolah sebab katanya dia benci tengok muka saya. Entah dari mana datangnya ketenangan yang tuhan berikan kepada saya sehingga saya boleh berkomunikasi dengan berhemah dan lemah lembut. Sedangkan dalam situasi begini, selalunya sayalah yang terlebih dahulu angin seluruh badan kalau orang tunjuk hangin begini. Saya bertanyakan sebab mengapa anaknya marah sangat kepada saya.

"Dia kata cikgu rotan dia semasa perhimpunan pagi di sekolah". Lama saya berfikir, kes yang mana satu aku merotan pelajar semasa perhimpunan sekolah. Last sekali baru saya ingat kes pelajar tidak menghormati lagu negaraku semasa perhimpunan. Memang hari itu saya cukup panas. Beberapa orang pelajar bermain-main semasa menyanyikan lagu negaraku. Semua pelajar terbabit bulih penyakit. Dapat selibas sorang. Rasanya birat punggung dia orang semua. Saya menceritakan keadaan yang sebenarnya yang berlaku dengan baik. Nampak gayanya pakcik itu seperti anaknya tak leh terima kenyataan. Mungkin di zaman ini tidak menghormati lagu kebangsaan tidak lagi menjadi satu kesalahan serius kepada mereka. Saya tiba-tiba rasa malas nak layan orang begini. Aku menasihatkan supaya bapa pelajar tersebut memohon untuk memberhentikan sekolah anaknya secara sukarela. Saya menghulurkan surat berhenti sekolah yang memang telah disediakan oleh guru kelasnya. Selepas menandatangani surat yang saya bawakan, saya menasihatkan pelajar tersebut menyerahkan buku teksnya ke sekolah.

Besok pagi, semasa hendak ke sekolah, saya terkejut beruk, kerana di atas tangga rumah saya terdapat seberkas buku teks yang diikat dengan tali rafia. Di sebelah berkas buku teks terdapat sesuatu yang dibungkus elok seperti nasi bungkus. Ada sekeping nota ditindih menggunakan bungkusan tersebut. Saya membuka bungkusan tersebut tanpa membaca terlebih dahulu nota yang ditulis. Terkejut beruk aku bila melihat najis manusia dibungkus rapi. Nasib baik tak kena tangan. Aku terus membuang najis tersebut ke dalam semak di belakang rumah aku. Aku terus membaca nota yang disertakan dengan pelbagai rasa. Masam, pahit dan memualkan.

"Padan dengan muka cikgu yang hitam itu" tertulis nota ditulis tangan menggunakan pensil. Masih mampu panggil saya cikgu, walaupun marah.

Pagi itu dalam perhimpunan pagi, saya dengan marahnya menceritakan peristiwa yang berlaku. Pelajar-pelajar aku menunjukkan pelbagai reaksi. Ada yang gelak, tersenyum dan ada juga yang terdiam seribu bahasa. Aku tidak berapa ingat jenis-jenis perkataan yang keluar dari mulut aku. Kalau aku marah gitulah jadinya semua perkataan yang keluar tiada barisnya. Dari yang carut marut hinggalah kepada perkataan-perkataan yang 18SX pun tidak layak mendengarnya. Guru-guru juga terdiam. Tiada Siapa yang berani komen. Saya memang panas betul.

Selepas perhimpunan pagi pengetua panggil saya. Saya rasa tentunya pengetua akan bersimpati dengan nasib yang saya terima. Tentu dia juga akan menyalahkan pelajar tersebut yang kurang ajar. Sebaliknya pengetua saya yang lembut, bertomakninah serta baik hati ini, telah memberitahu saya bahawa langkah saya mengamuk diperhimpunan adalah satu langkah yang tidak bijak.

"Kalau cikgu tak cerita kat perhimpunan, hanya beberapa orang sahaja yang tahu peristiwa yang memalukan ini. Yang pertama cikgu dan keluarga cikgu dan yang kedua pelajar tersebut dan ketiga mungkin kawan-kawannya. Tapi sekarang 750 orang pelajar sekolah ini tahu. Semua guru tahu. Katakan kesemua orang yang mendengar cerita ini memberitahu satu seorang setiap satu. Maka hampir dua ribu orang akan tahu"

Aku hanya diam. Panas masih membara. Sebagai Guru novis, masih setahun jagung, aku akur dengan kata-kata pengetua. Betul jugak sebab pelajar yang melakukan perkara tersebut tidak ada dalam perhimpunan tadi. Semua yang ada tidak teribat. Yang tak tahu menjadi tahu.

Begitulah yang sering berlaku dalam sistem kita. Selalunya yang kena marah kerana tidak pergi sembahyang jumaat ialah orang yang pergi sembahyang jumaat. Pelajar yang hadir perhimpunan akan mendengar leteran guru disiplin untuk pelajar yang ponteng perhimpunan. Kesalahan yang dilakukan oleh seorang pelajar akan dikongsikan dengan seluruh pelajar di perhimpunan. Dan lagi. Dan banyak lagi.

Moralnya. Tidak semua perkata boleh dikongsikan dengan orang lain. Kadang-kadang apa yang kongsikan atas apa alasan sekalipun marah, dendam, melepaskan geram, ada kalanya memalukan diri kita sendiri. Pengetua sekolah juga sepatutnya seperti pengetua saya di atas. Tenang, bijak dan pandai menyelesaikan masalah yang berlaku dalam sekolah. Harapannya selepas ini kita tidak lagi seperti imam di masjid seperti cerita di atas. Medan perhimpunan pun biarlah menjadi tempat memuji pelajar-pelajar yang mematuhi disiplin..

Majlis Sambutan Hari Raya Korban IAB

Hari ini 30.11.2009 bersamaan dengan 13 Zulhijjah 1403 Hijrah, satu majlis sambutan telah diadakan di Institut Aminuddin Baki, Seri Layang, Genting Highland. Dalam majlis ini, sebanyak 3 ekor lembu telah dikorbankan hasil sumbangan beberapa orang staf IAB.

Aktiviti sambutan yang diadakan di garaj bas IAB telah berjaya mengumpul sebahagian besar warga IAB untuk sama-sama bergotong royong melapah, menyiang serta memasak daging korban untuk dinikmati oleh semua warga IAB yang hadir. Aktiviti ini sangat meriah dan telah mengeratkan lagi hubungan silarurrahim khususnya antara staf lama dengan staf baru IAB.

Sebelum menikmati jamuan makan tengahari, satu tahlil yang diterajui oleh al-fadhil Ustaz Kamal telah dijalankan. Aktiviti ini adalah satu lagi aktiviti tahunan yang dirancang dan dilaksanakan oleh BAKIB IAB.
Semoga aktiviti sebegini akan terus dirancang dan diadakan di masa-masa yang akan datang, insyaallah...

Kartun



Dr. Fathanah, bekas Pengetua Cemerlang MRSM Serting, mantan Pensyarah Institut Kepengetuaan Universiti Malaya dan kini sertai semula MARA, tapi saya tak pasti di mana. Tapi yang pasti jawatan yang lebih tinggi... Beliau antara individu yang saya kenal, yang saya kategorikan kepada orang yang saya kagumi dan hormati. Semasa menyiapkan pengajian Sarjana Kepengetuaan di UM, suatu ketika dulu, dialah antara individu yang tidak pernah lelah memberikan motivasi dan nasihat kepada saya, walaupun saya antara studentnya yang paling tua sekali.


Saya pasti kelebihan yang ada pada Dr. Fathanah, dari gaya pertuturan, airmukanya, serta tingkah lakunya, beliau sangat dekat dengan Allah subhanahuwataala. Seorang beriman, muslimah yang mengamalkan ajaran islam sebaik mungkin. Banyak elemen buruk yang ada pada diri saya dapat dibuang dari saya setelah saya mengenali beliau. Yang paling terkesan sekali ialah perangai pemongoh atau panas baran saya dapat terus dibuang. Perangai bengkeng saya hilang langsung. Seperti mana seorang bomoh yang berjaya membuang saka yang selama ini menghantui seseorang. Sampai isti saya sendiri meras hairan, bagaimana saya jauh berubah selepas saya menamatkan pengajian masters di UM. Begitulah hebatnya Dr. Fatanah..


Beliau juga pernah berkongsi pengalaman dengan saya tentang bagaimana beliau mampu mengurus diri dalam organisasi. Menurut Dr. Fathanah yang juga bekas kaunselor, beliau seorang yang asertif, yang akan mengatakan ya pada yang betul dan berani serta bertanggungjawab untuk mengatakan tidak pada perkara yang salah walaupun dengan orang atasan. Menurut beliau lagi kita mesti jadi seperti kartun. Berupaya hidup dan bingkas berdiri walau telah leper digilis steamroll. Boleh survive walaupun telah hancur lumat. Kembali mencantum diri dan bermula semula dengan penuh yakin. Maksudnya kita tidak boleh putus asa walaupun mengalami kegagalan. Kita jatuh, kita bangun semula. Tetapi dengan penuh semangat untuk membina semula kejayaan. Itu kata-kata yang saya masih pegang sampai kini.


Moralnya, nilai-nilai positif perlu kita amalkan dalam mengurus diri dalam organisasi. Jangan mudah mengaku kalah dengan cabaran. Kegagalan perlu ditukar kepada peluang untuk memperbaiki diri. Peluang untuk menjadi kita yang baru. Kita yang berjiwa lebih besar....


Salam takzim buat mu Dr. Fathanah

Security Guard Sekolah - Banyak Bagus Itu Boss !

Suatu masa dahulu ketika cuti sekolah, saya dan seorang rakan pernah pergi memberikan training yang berpusat di salah sebuah sekolah rendah, -Sekolah Cemerlang Harapan Negara.

Diawal pagi saya sudah tiba disambut oleh seorang guard berbangsa India... " Selamat pagi incik , sila masuk" sapa guard tersebut sambil mengangkat tinggi tangannya ke udara sambil senyum meleret.

Sekolah ini menjadi pusat training untuk sekolah lain disekitarnya. Mereka pun seperti saya tidak pernah datang ke sekolah ini dan begitu teruja untuk mengetahui kecemerlangan sekolah ini. " Wah baguslah tandas dia.. boleh tidur kat dalam ni " kedengaran suara peserta yang baru keluar tandas bercakap dengan rakannya. Wah! tandas pun menjadi ukuran kecemerlangan, bisik hati saya. Kalau begitu .. saya pun masuk tandas pelajar, baru adil ! wah tandas pelajar pun sama juga dengan tandas guru, sangat bersih.

Emm sekolahnya memang nampak cantik tersusun dan penuh dengan berbagai tampalan ilmiah di seluruh pelusuk lorong dan dinding dan macam macam benda lagilah . Wah sungguh rajin cikgu-cikgu di sekolah ni, ini memerlukan masa tambahan yang lain untuk melakukannya, kalau masa sekolah mesti tak sempat punya, persoalannya bagaimana?

Banyaklah yang sempurna dan banyaklah yang ada dalam fikiran saya ... ada 3 elemen di sekolah , 1. Guru ( rajinnya cikgu - tak sempat kalau masa sekolah nak buat kerja2 tu emm mungkin cikgu pun nak cemerlang diorang tak kisah ) 2. Guru besar ( macamana dia suruh cikgu tu buat berbagai kerja? kerja kerja sekolah dahpun tentu banyak, ke gurubesar ni garang / autokrasi kalau tidak hmm susah juga nak dapatkan kerjasama yang total dari semua guru, masing masing ada ragam sendiri. 3.Murid - bagus pulak murid murid ni, segala perkara yang dah tersusun dan sempurna mereka tak rosakkan.

Tak banyak perkara yang saya cuba kaji, sebab saya bukan pemantau, saya trainer, cuma saya mencari mungkin ada sesuatu punca yang kita boleh belajar, berkongsi... tapi apakah dia punca asas kecemerlangan ini?

Sehinggalah tiba waktu makan tengahari... saya dan rakan saya disediakan di tempat yang khas untuk jurulatih. Nampaknya kami makan berdua sebab nak ajak peserta makan, mereka segan, lagipun kami keluar lambat settle kan laporan selepas setiap sessi berakhir. Kami ternampak abang guard tadi tak jauh dari kami, jadi kami panggil dia. Dia pun datang menghampiri dan kami ajak dia makan sekali. Dia bersungguh-sungguh menolak. Walaupun begitu dia menerima tawaran kami untuk minum ... menemani kami makan .

Saya memulakan bicara, " Saya dengar ini sekolah banyak cemerlang "
" Betul , ini sekolah dapat itu anugerah itu Harapan Negara ... " balas abang guard dan dia terus bercakap tentang anugerah yang diperolehi dengan panjang lebar. Wahh guard pun tahu dan mengikuti dan menjiwai sekolah ini.
"Macamana itu boss, ada baik ka" saya cuba mencari jawapan
" Ini boss aa, sangat baik ... semua orang suka sama dia, itu cikgu, murid semualah...." tambahnya lagi panjang lebar cerita dia, panjang sangat sampai saya dah tak ingat lagi tentangnya.
Tambahnya lagi,
" Ini boss aa, sangat jaga itu kita punya susah, kita punya masalah dia suruh kasi settle baru kita kerja ada tumpu punya."
" Ini cikgu semua ada bagi kerjasama itu boss sebab dia banyak baik, apa dia minta itu semua orang kasi tolong, murid pun ada kasi kerjasama sebab itu KITA cemerlang"

"Itu boss ada kasi penghargaan sama u ?" tanya saya lagi

"Nanti kejap aaa .. saya mau tunjuk satu .." katanya sambil menunjukkan tangannya dengan isyarat menunggu.. lalu dia ke pondok jaga dan mengambil sesuatu di tangannya...
Dia menghulurkan pada saya... ohh sijil rupanya. Sijil penghargaan beberapa tahun kebelakangan ini. You tengok ini gurubesar bagi saya itu penghargaan saya jaga ini sekolah, tiap pagi dia ada datang jumpa saya kalau saya ada apa masalah atau itu cadangan mau bagitau. Beria ia benar dia menceritakan nya. Emm kalau jaga pun dah sayang guru besar, agaknya cikgu lagilah tak masalah. Tak ernah saya tengok guard yang begitu bermotivasi ketika ditanya tentang Bossnya!


Apa yang mungkin saya boleh simpulkan ... walaupun saya bukan gurubesar/pengetua

BERIKAN RUANG KELUARGA-Siapa lagi kalau bukan kita berikan ruang untuk anak buah kita menguruskan keluarganya waktu kesusahan bukan hari - hari keluarganya sakit/ ditimpa malang - kalau boleh bantu lagi bagus. Pada masa kritikal ini kalau kita terlalu berkira menyebabkan anak buah kita berkira beratus kali ganda lagi.

BERI PENGHARGAAN -Siapa lagi kalau bukan kita nak memberikan penghargaan pada anak buah kita sendiri - Selalulah ucapkan terima kasih dari hati yang ikhlas, cikgu mungkin dah banyak sijil, berikan pada staff/ Guard/ tukang sapu/Cleaner/ Mungkin sijil tak memberikan makna apa- apa pada sesetengah individu, tapi ada yang akan simpan, kalau yang tak simpan pun dia akan tahu yang orang itu ada menghargainya.

BERIKAN HATI-Siapa lagi kalau bukan kita nak memberikan masa berjumpa sekali sekala bertanyakan idea/ buah fikiran/ dekatkan dengan staff terutama yang memang takut dengan kita, menjadikan rapat memudahkan urusan

Jadilah Boss yang dihormati kerana adanya anak buah yang menyangi, bukan dihormati kerana kita BOSS

Selamat Becuti

Bermula 22 November, sekolah-sekolah di seluruh Malaysia akan bercuti. Wah! cuti panjang, cuti pada musim banjir... Seronoknya kalau boleh balik Kelantan. Balik Bukit Abal. Tengok air bah, tengok air melimpah sungai. Tengok air merentasi jalan raya di Panggong 3 Daerah. Kalau dulu-dulu ramai sangat orang bermain air. Macam pesta. Berbagai ragam dan penuh warna warni. Warna payungnya lah.. Masa ni juga ada yang menjala ikan kat sungai. Menahan lukah yang dipanggil tual, menahan taut, pukat dan memancing.

Masa kecik-kecik dulu air penuh sungai tak jadi masalah. Kita budak kampung.. Dari Kecik dah pandai berenang. Masa air penoh sungailah masanya nak tunjuk hebat. Selalunya kita akan berlawan berenang dalam arus deras menyeberang sungai dan siapa yang paling dekat jarak hanyut akan menang. Wooh.. memang kerja gila. Kalau tengok sekarang memang takut. Tapi masa tu tak takut langsung. Memang berani. Memang hebat. Kalau kat kampung Bukit Abal, yang paling hebat sekali ialah Kosem. Dia paling berani. Dialah ketua. Kadang-kadang bila dah puas berlawan berenang main panjat pokok dan terjun kedalam arus deras dan berenag ketepian. Eeeeee, seriau bulu roma. Pokok Kerian tu bukannya rendah. Tinggi melangit. Dia jugak yang menang. Paling tinggi memanjat dan terjun. Kalau dah tinggi, terjun dalam arus deras pula pasti terjunam kedasar sungai. Tapi masa tu kita ok je. Sekarang je rasa takut. Itulah kanak dahulu tahun-tahun awal 70an. Sebab itu budak dulu lasak, berani dan tidak mudh mengalah... kalau nak banding dengan anak-anak sekarang. Anak-anak saya sekarang lah. Orang lain saya tak tahu. Anak saya nak naik bas, takut, malas, serabut... Macamana nak kuat. Semuanya nak kena hantar.. Pegi bandar kena hantar, pergi lirary kena hantar, pegi sekolah pun kena hantar. Dulu, kita masa pegi sekolah jauh. Hampir 7 km. Kayuh basikal. Masa tu zaman seluar pendek putih. Satu hari ceritalah kat anak-anak bagaimana susahnya sekolah pada masa itu. Satu hari, semasa dalam perjalanan, basikal puncit. Dekat 4 km sorong basikal ke sekolah. Harapnya dapatlah simpati anak-anak dengan cerita tersebut. Semoga mereka insaf dengan kemudahan yang ada sekarang. Usahkan nak insaf, sedih pun tidak. Boleh ketawa lagi. Siap komen lagi. Kenapa sorong basikal tu kan berat.... Tinggal jelah... ringan sikit nak berjalan. Tengok!, langsung tidak menghargai harta benda.

Itu dulu, tapi hari ini tengok laporan banjir dalam tv jelah.. Cuti pun tak lagi macam dulu...Cuti sekolah bukan lagi cuti panjang. Cuti sekarang dua tiga harisahaja sebulan. Otupun belum tentu.. Apa-apa pun selamat bercuti kepada semua pelajar dan semua warga pendidik seluruh Malaysia.

Hari Yang Suram

Hari ini hujan renyai dengan langit gelap menyambut kedatangan pagi yang suram. Hari ini keputusan UPSR diumumkan. Anakku yang baru mendapat keputusan UPSR berkurung dalam biliknya. Keputusan 3A2B tentu sekali keputusan yang diluar dugaan samasekali. Setelah melalui pahit getir membuat persediaan menghadapi UPSR, dengan harapan calon 5A sekolah, keputusan ini tentu sekali mengecewakannya. Tambahan pula beliau memegang jawatan Ketua Pengawas Sekolah. Beberapa orang calon yang tidak termasuk dalam target sekolah berjaya memperolehi 5A menambahkan lagi pilu di hatinya.

Saya juga sebagai bapa tidak kurang rasa kecewa dengan keputusan ini. Namun sebagai bapa saya tidak boleh menunjukkan rasa hampa yang keterlaluan. Uminya, pada mula sudah memulakan leteran tetapi saya cepat menghentikannya. Jangan dilambah lagi luka dan duka anak yang masih mentah ini.

Tapi yang pasti, esok bila anak-anak saya yang berada di sekolah sains Kuantan dan Temerloh balik untuk bercuti panjang, pasti menambahlagi duka Izzqy. Tadi pun selepas waktu rehat sekolah masing-masing, berturut-turut mereka telefon bertanyakan keputusan UPSR adiknya. Mereka berdua terkejut dan tidak percaya. Sehingga malam ini sekali lagi mereka telefon bertanyakan hal yang sama. Saya masih ingat bagaimana mereka sering cabar mencabar antara satu sama lain. Abangnya semasa tahun 2004 berkata tengok abang Ketua Pengawas sekolah dapat 5A. Tahun depan kau Izzmy mesti jadi Ketua Pengawas dan dapat 5A. Begitulah yang belaku Tahun 2005, Izzmy pula menjadi Ketua Pengawas dan mendapat 5A. Atas tuntutan tugas saya bertukar sekolah semasa Izzqy tahun 5 dan berpindak ke sekolah baru tanpa menyambung tugas sebagai pengawas sekolah. Semasa tahun 6 Izzqy telah dilantik sebagai pengawas dan dicalonkan sebagai Ketua Pengawas serentak. Selepas dua minggu percubaan, akhirnya Izzqy juga telah dilantik sebagai Ketua Pengawas, yang sama sekali tidak dijangkakan. Lalu berkatalah mereka, kita semua jadi Ketua Pengawas, maka kita semua mesti dapat 5A. Itu sebab keputusan ini sangat mengecewakan Izzqy....

Tidak dapat tidak saya tidak boleh menyembunyikan rasa kecewa kerana kegagalan anak saya memperolehi 5A. Saya lupa untuk mengurangkan pengharapan yang tinggi seperti yang saya lakukan sebelum perlawanan bola sepak akhir piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan baru-baru ini. Sebelum perlawanan akhir tersebut saya sempat berbisik dengan hati saya. Menang dan kalah perlawanan akhir, sebenarnya tidak penting. Yang penting Kelantan berjaya ke perlawanan akhir untuk dua piala. Itu satu kejayaan yang cukup besar buat Kelantan. Sebab itu saya tidak kecewa bila Kelantan Kecundang di perlawanan akhir piala Malaysia.

Sepatutnya saya juga perlu berbisik begitu dengan hati saya. 3A2B juga suatu kejayaan. Saya tidak perlu rasa sedih yang akan membuatkan anak saya menjadi bertambah duka.

Buat IzzQy, sabarlah nak. Ini baru permulaan. Buktikan dalam PMR nanti... Tahniah kepada pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang UPSR 2009. Tahniah kepada SK Desa jaya kerana masih mengekalkan status sekolah paling ramai pelajar memperolehi 5A.

CCL102

Ramai kawan-kawan bertanya mengapa beli nombor CCL102. Banyak lagi nombor cantik. Alang-alang beli, belilh yang cantik seperti CCL101, CCL100 dan sebagainya.
Mengapa CCL 102? Jawapannya ntah. Saya suka nombor itu. Saya suka nombor 3. Banyak nombor 3 yang berkait dengan diri saya. Nak significankan lagi nombor 3 dengan saya, saya cuba cari alasan maka terjumpalah. Saya lupa pulak ambik kat mana... tapi dalam internet. Minta maaf kepada pemilik sumber asal kalau saya menggunakan bahan anda ini tanpa meletakkan alamat anda... Itulah orang kata, kalau kita nak membenarkan apa saja, berjuta alasan boleh kita cari...sebaliknya..

C + C = 2
L = 1
2+1 = 3
1 + 0 + 2 = 3

Tarikh Lahir = 04.09.1961
4 + 9 + 1 + 9 + 6 + 1 = 30 (3 + 0 = 3)
Nombor Tarikh Lahir = 3

1 – Satu
Lambang keunggulan Tuhan. Nombor kemakmuran, keutuhan diri, kekuatan, keberanian dan kekuasaan. Rumah bernombor 1 akan sentiasa makmur. Tetamu suka datang kerana suasana yang tenteram, damai dan tenang. Kalau orang yang bernaung di bawah nombor ini, dia seorang yang berani. Mempunyai pendirian yang kukuh, memiliki kekuatan fizikal dan mental.

2 – Dua
Nombor ini bersifat pasangan seperti sejuk lawannya panas. Ia simbol pengesahan, penyaksian, perkaitan, syarat menemukan jawapan semula jadi dan jodoh. Bagi seseorang yang sukar mendapat jodoh, berlindunglah di bawah nombor ini. Tidak perlu jumpa dukun atau mandi dibawah jambatan, cukup sekadar mengingati nombor itu.Untuk lebih mudah, ambil segelas air sejuk mentah atau air kelapa, lebih elok air zam-zam. Tuliskan nombor 2 di luar gelas, memadai menggunakan hujung jari. Kemudian minum, ingat nombor itu dan niatkan dalam hati untuk mendapat pasangan. Lakukan tujuh kali atau tujuh hari berturut-turut. Insha-Allah….tak sampai sebulan pasangan yang sesuai akan diperoleh.

3 – Tiga
Rahsia akal, bijaksana, keceriaan, kesuburan, keseimbangan, pembalasan dan penindasan.Bernaung di bawah nombor ini menjadikan anda seorang yang pintar dan bijaksana. Biasanya apabila hendak melakukan sesuatu pekerjaan akal akan berkata-kata sama ada ia baik atau buruk. Boleh menjadi pencipta yang baik tetapi bermula dengan kemusnahan. Setelah melalui beberapa kegagalan baru menikmati kejayaan. Tapi kalau putus asa, habislah.Mudah memiliki sesuatu kekayaan, benda, rumah, kereta atau apa sahaja tetapi mudah pula melepaskannya. Pintar menyelesaikan setiap masalah walaupun terlalu rumit. Seorang yang subur, mempunyai anak ramai dan ibu bapa yang baik. Paling penting mereka ini awet muda.

4 - Empat
Nombor ini membawa simbol rupa bentuk, kesempurnaan, kemantapan kedudukan, kewangan dan kehidupan. Lambang kekuasaan, kestabilan dan lengkap. Ia stabil dan tidak mudah di ganggu-gugat atau dipengaruhi. Kekuatan mereka yang bernombor 4 ialah mampu melihat melalui daya imaginasi. Agakan mereka selalunya tepat dan kalau merancang, insha-Allah berhasil. Ramai arkitek, jurutera dan pereka-pereka bernaung di bawah nombor ini.

5 – Lima
Simbol kreatif, intelek, mampu mempengaruhi, pemikir, bijaksana, pengkritik dan tahap intelekual yang tinggi. Kalau menjadi hakim, dia akan laksanakan tugas dengan bijaksana dan dapat menyelesaikan segala masalah, perbalahan, kerumitan dan kesusahan. Kekuatannya adalah pada kata-kata. Mampu mempengaruhi orang lain membuat keputusan. Pandai memujuk, merayu supaya pertelingkahan dapat dileraikan. Jika anda tidak mampu membuat keputusan, ingatkan 5, nescaya mudah semuanya.

6 – Enam
Hati-hati dengan 6 jika anda lemah semangat, jangan gunakannya kerana syaitan dan iblis mudah merasuk. 666 adalah lambang syaitan – gandaan kelemahan bagi mereka yang lemah semangat. Tetapi 6666 pula adalah kekuatan dan kesempurnaan kerana ia adalah bilangan ayat al-Quran.Kalau nombor peribadi anda 6, anda suka meramal dan boleh meramal dengan tepat. Mulut masin. Suka pada benda ghaib, boleh melihat dan menembusi alam ghaib.Bagi yang belum kahwin tetapi sudah mempunyai pasangan atau idaman hati cubalah ingatkan 6 dan niatkan pada air seperti nombor 2. Percayalah tidak sampai sebulan niat akan terlaksana.

7 – Tujuh
Inilah nombor paling baik. Selain itu ia juga lambang pembalasan, memerintah, membangkitkan tenaga dalaman, pelindung, pemusnah dan penghalau hantu. Insha-Allah doa mereka dimakbulkan jika mengulangi 7 kali. Mereka juga bersifat melindungi dan mampu memerintah dengan baik. Nombor ini digunakan untuk menghalau hantu yang meresap di dalam badan.Caranya mudah – palitkan nombor 7 dengan menggunakan kapur di tempat yang sakit. Ia hanya mujarab dilakukan pada malam 13, 14 dan 15 (bulan penuh). Ataupun pelindung ibu yang sedang sakit bersalin daripada dimasuki iblis.

8 –Lapan
Orang Cina cukup suka nombor ini. Kebanyakan mereka sanggup bayar berpuluh ribu ringgit untuk mendapatkannya – untuk plat kereta atau rumah. Memanglah nombor itu mendorong ke arah menjadi semakin kaya tetapi sampai satu tahap jatuh bankrap. Sebabnya…. kerana mereka tidak tahu 8 sebenarnya bermaksud penamat kehidupan.Bagaimanapun nombor ini memang baik jika tahu rahsianya iaitu ia mendorong ke arah kekayaan, kemantapan, kehidupan, keadilan, sempurna, lengkap dan akhirnya kematian. Jika anda tidak tahu rahsia 8, jangan sesekali cuba menggunakannya. Dari segi sains oksigen terletak dalam atom 8. Sebab itulah jika tidak cukup oksigen orang akan mati.

9 – Sembilan
Nombor ini lambang kebenaran. Kerana itu polis menggunakan 999? Ia juga lambang tenaga yang kuat. Sebab itulah ia disimbolkan sebagai perjuangan, kepahlawanan, peperangan dan pertikaian. Bagaimanapun mereka yang bernaung di bawahnya mudah terlanjur dalam perbuatan dan percakapan atau suka lepas cakap. Tapi, jangan bimbang….walaupun mudah terlanjur tetapi anda seorang yang cukup sempurna dalam hal ilmu keduniaan. Nombor ini boleh digunakan untuk mencari semula barang yang hilang. Ingat nombor 9, barang yang hilang akan jumpa semula, jika tersalah simpan!

10 / 0 - Sepuluh atau Kosong
Simbol keabdian Yang Mencipta, Maha Kuasa. Kebesaran yang tidak dapat diukur dengan apa sekali pun. Tidak ada permulaan dan tidak ada pengakhiran – tiada penamat. Ia sentiasa akan berlingkar dalam pusingan yang sama tanpa ada titik akhir. Satu nombor yang cukup kuat, tidak mampu dikalahkan oleh segala ilmu yang ada. Tidak ada orang bernung dibawahnya. Hanya pencipta memilikinya.
Mengetahui rahsia dan hikmat nombor ini penting kerana melaluinya kita dapat mengenal diri. Hidup akan lebih teratur, sentiasa berwaspada ketika membuat perhitungan.Kita tidak perlu mencari Tok Piah, Kam tukang tilik, minyak cenduai Batin Yat atau bertemu bomoh fotostat bagi mencari barang hilang. Anda mampu meramal masa depan sendiri, menghalau hantu, mencari pasangan dan mendapat kekayaan. Semuanya boleh anda lakukan sekiranya anda tahu apakah rahsia nombor peribadi anda.

Nak tahu apakah nombor peribadi anda? Formulanya ringkas sahaja. Anda cuma perlu campurkan saja jumlah nombor tarikh lahir anda.Misalnya anda lahir pada 12-12-1969. Maka, campurkan sekali semua nombor yang ada pada tarikh lahir anda tersebut.1+2+1+2+1+9+6+9 = 31 ( 3+1=4)Jadi nombor peribadi anda adalah 4.
Perlu diingat di sini bahawa, semua rahsia dalam nombor ini bukanlah satu perkiraan dan fakta yang tepat. Sebaliknya ia hanyalah ramalan melalui pengalaman dan hasil kajian bijak pandai dahulu kala.

Hakikatnya, semua perkara yang berlaku adalah dalam ilmu dan perancangan ALLAH SWT yang Maha Berkuasa. Hanya ALLAH SWT sajalah yang Maha Mengetahui segala rahsia dan hikmat yang ada pada sesuatu benda/perkara. Sesungguhnya semua benda/perkara tidak akan mendatangkan sebarang manfaat atau mudarat tanpa izin daripada ALLAH SWT, Robb sekalian alam.

Selamat Menghadapi Peperiksaan SPM

Esok 18.11.2009, hari pertama peperiksaan SPM. Pastinya kertas BM1 dan BM2. Raja segala kertas bagi SPM. Kertas yang menentukan pelajar layak dapat sijil SPM ataupun tidak. Kertas masa depan. Kertas yang akan dikira sepanjang masa. Kertas penentu kerjaya. Sebab itu semua calon SPM perlu memberikan perhatian yang serius kepada kerats ini.

Kepada semua calon SPM seluruh Malaysia, Selamat berjaya. Kepada semua calon SPM SMK Jengka Pusat, saya panjatkan doa semoga anda semua akan peroleh keputusan yang cemerlang. Istimewa buat anak sulungku, Nurul Illyyina, ayah tahu along boleh... insyaallah segala ilmu yang telah dikutip selama dua tahun ini akan diimplementasikan dalam peperiksaan SPM tahun ini.

Selamat mengambil peperiksaan SPM 2009

Minggu Penuh Debaran

Minggu ini, beberapa peristiwa penting bakal berlangsung. Bermula dengan peperiksaan SPM 2009 yang akan bermula pada hari rabu, 18.11.2009. Diikuti pula dengan keputusan UPSR 2009, pada khamis, 19.11.2009. Kedua-dua peristiwa penting minggu ini melibatkan dua orang anak, satu yang sulung dan sorang lagi yang bongsu tak jadi. Tak jadi bongsu sebab selepas 10 tahun bongsu, dapat pula adik perempuan yang sekarang ini telah berusia 2 tahun.

Bila balik hujung minggu lepas, jelas dapat diperhatikan kegelisahan dua beradik ini. Yang sorang ke hulu kehilir dengan nota kecik dan buku tulis. Yang adiknya pula pucat lesi semacam je muka. Makan pula tak berhenti-henti. Dia ni lain sikit. Kalau resah kuat makan pulak. Dibuat macam-macam pada adik bongsunya. Mengusik. Sampai adiknya Illmy Jazmyra yang baru berusia 2 tahun bulan lepas, tak henti-henti menjerit. Umi nya pun pelik. Sesekali marah-marah dia pada Eki yang kerap mengusik adiknya. Kadang-kadang dia tidur, mengiring ke kiri, mengiring ke kanan, semua tak kena. Saya cuma perhati sahaja. Saya tahu dia tengah stress. Takut sebab keputusan UPSR akan diumumkan tiga hari lagi. Awal-awal lepas periksa hari tu, dengan penuh yakin dia kata 5A dalam genggaman. Tapi sekarang nampak gundah juga. Dia takut tak dapat 5A, takut tak dapat pegi ke asrama penuh seperti abang-abangnya yang dua orang tu...

Kak Long gelisah dengan caranya. Ada kalanya berkurung dalam bilik, masa makan baru kuar. Adakalanya study kat meja makan sambil tengok tv. Ada masa kehulu kehilir tanpa sebarang benda kat tangan. Saya biarkan je... anak-anak biar dia layan rasa gelisah sendiri... Hari minggu, bila semuanya nampak tenang, saya berbisik dengan anak bongsu, walaupun baru berumur 2 tahun tapi dah pandai sebut beberapa perkataan. 'Jom KFC' dengan loghatnya yang tersendiri. Semua tercengang dan memandang ke arah saya. 'Betul ke?' tanya eki.

Sebenarnya saya memang nak bawa mereka makan kat luar untuk meredakan keresahan di hati mereka. Apapun saya yakin kedua-duanya akan berjaya.. Insyaallah. Nanti ayah cuti, hari rabu nanti ayah akan hantar Along ke dewan peperiksaan untuk ambik kertas BM pada hari pertama. Khamis, biar ayah yang pergi ambil keputusan UPSR Eki....

Pantun Orang Berilmu

Semasa melalui OD Dato' Razali, teringat saya pada pantun Allahyarham Dato' Haji Razali mantan Timbalan Menteri Pelajaran yang selalu dibacakan oleh En. Edaris di dalam kelas-kelasnya. Sangat ringkas tetapi amat bermakna sekali. Untuk makluman En. Edaris adalah rakan bergu Allahyarham semasa bermain badminton detik-detik sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir; Semoga Allah SWT meletakkan Allahyarham di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Amin...

Membilang bermula satu,
Berjumpa memberi salam,
Dilipat sebesar kuku,
Dibentang seluas alam

Apa tanda batang tebu,
batang tebu halus uratnya,
apa tanda orang berilmu,
orang berilmu tinggi budinya..

Aszelan


Entah mengapa pagi ini aku teringat pada seorang sahabatku yang paling aku hormati dan kagumi. Kagum kerana sifat semulajadinya yang sangat baik peringkat tertinggi. Tidak pernah aku temui seorang manusia sebaik Aszelan yang sentiasa bersedia membantu-kawan pada bila-bila masa. Mungkin atas sifat semulajadinya ini sahabat saya ini nampat sentiasa tenang. Tak serabut. Sering kelihatan tersenyum dan ceria.

Yang paling saya kagumi, sahabat saya ini yang pakar dan bidang ICT, tidak pernah kata tidak kepada setiap pertolongan yang diminta oleh kawan-kawan. Yang istimewanya sahabat saya ini akan menjawab boleh, sebelum sesuatu pertolongan itu diminta.

Bila kita minta tolong dia akan kata boleh... Kalaupun dia tidak berapa tahu, khususnya berkaitan komputer.
"Saya tak biasa buat tapi saya rasa saya boleh buat"
"Mari kita cuba buat"
Kalau dia tak boleh buat pun, habis kawan-kawannya ditponnya untuk membantu. Kalau dia sedang buat kerja lain yang lebih mustahak pun dia akan berhenti dan cuba membantu. Itulah kelebihan sahabat saya ini. Kalau dia ada software baru dia akan berikan kepada semua orang.
"Bang, software pda kita ni orang dah tak pakai dah. Meh saya buat yang baru."

Namanya Aszelan Tokinin, tengok namanya memang jawa tulin. Mungkin itu sifat semulajadi orang jawa, rajin dan membantu. Setiap kali bila saya bercerita tentang sahabat saya ini kepada orang lain, saya selalu berkata, aku pun nak buat macam Lan juga. Sebab saya suka pada prinsipnya.







'Bila kita memudahkan jalan orang lain, Allah akan membuka luas jalan kita'

Tq.. Lan engkau sahabat sejati.

Lewat

Malam tadi, kerana bersengkang mata untuk menyiapkan tugasan yang diberikan Dr. Aziz, tidur telah ditangguhkan. Hampir pukul 2.00pm baru boleh tidur. Sejak akhir-akhir ini, jarang tidur lewat. Paling lewat pun pukul 12.00pm. Kalau dulu tak tidur satu malam tak jadi masalah... Pernah satu ketika, untuk menyiapkan takwim sekolah tak tidur sekedip pun, sehingga pukul 9.00pm mesyuarat bermula, bahan yang diminta dapat disiapkan. Kembang lubang hidung bila GPK 1 Pn. Normah Ismail memuji rekabentuk dan kandungan takwim tahun tersebut yang lain daripada yang lain. Berbaloi-baloi le aku berjaga sepanjang malam. Sebenarnya itulah motivasi. Sedikit sahaja kata-kata pujian membuatkan kita rasa dihargai. Kita rasa kita disedari wujud dalam kelompok organisasi tersebut. Tidak sukar sebenarnya hendak membuatkan orang lain gembira. Dengan sedikit puji pujian, membuatkan orang bekerja secara sukarela dan gembira.

Berbalik kepada tajuk hari ini, bila tidur lewat, bangunnya mesti lewat juga. Telefon dah set pukul 6.00 pagi tapi ntah bila tutup. Acapkali jugak dah berlaku situasi yang sama tak sedar bila alam telefon berbunyi. Pastu pukul 7.00 baru sedar, tu pun jiran sebelah ust. Jamalabdillah tpon tanya nak tumpang dia ke tidak? Bergegaslah mandi, sembahyang subuh gajah terus turun. Dari Bentong ke IAB, jauhlah jugak. Kalau jalan-jalan ceri makan tu dekat 45 mini ikut jalan lama tanpa tol. Tapi kalau ikut lebuhraya dalam 40 minit kalau bawak keta macam kena kejar hantu. Keputusan segera, ikut lebuhraya. Keta takdan panas terus jalan. Sampai kat simpang ke Lebuhraya Karak baru sedar wallet tak ambik. Keputusan segera pusing balik rumah ambik wallet atau ikut jalan lama... Nak ikut lebuhraya duit tak bawak nak bayar tol. Sampai kat simpang hati kata terus ikut jalan lama... Maka teruslah ikut jalan lama.. Tawakkallah, dah tentu sampai lewat. Hujan renyai-renyai dengan jalan berliku-liku, melambatkan lagi perjalanan. Jalan licin, ada pula lori trelar kat depan... lagilah lambat. Sampai kat simpang Bukit tinggi jam di kereta sudah menunjukkan pukul 7.50am. Meme sah lambat hari ini. Sampai kat asrama eksekutif 8.10 pagi. Berdebar masa nak 'thumb print'. Maklum saja baru tiga bulan di sini dah datang lambat. Nasib baik di ruang legar Asrama eksekutif tiada orang..

Dalam hati aku berniat hari ini aku mesti pulang lebih daripada pukul 5.00pm, walaupun itu bukan alasan dan cara bayar hutang lewat datang tetapi sekurang-kurangnya jumlah jam bekerja hari ini akan cukup. Sambil naik tangga sihat, kerana aku park keta kat asrama induk, aku tpon isteri aku minta dia tpon aku setiap pagi jam 6.00 untuk pastikan aku telah bangun..
Yang pasti, esok aku berazam untuk datang lebih awal...

DG48DU48

Pada tahun 2008, sambil berborak kosong dengan kawan-kawan di tepi padang bola SMK Jengka Pusat, ada guru baru sekolah yang bertanya saya, adakah saya sudah dapat DG48. Saya kata tahun 2009 saya akan dapat DG48, tahun 2010 DG49 secara berseloroh dengan merujuk umur saya yang akan mencapai usia 48 tahun pada tahun 2009. Itulah seloroh saya yang saya ulangi apabila mencelah bualan kawan-kawan berkaitan dengan kenaikan gred dalam perkhidmatan. Pada saya, soal kenaikan gred dalam perkhidmatan tidak pernah menjadi port dalam pemikiran saya. Nak naik pangkat beserta dengan kenaikan gred ini tidak pernah saya fikirkan. Saya tidak pernah berangan untuk menjadi pengetua. Orang kata kalau dah pakai 'plate D' tak payah nak berangan nak jadi pengetua di negeri 'plate C'. Betul le tu... orang negeri 'palate D' mungkin gitu juga. Utamakan 'plate D' dulu. Terimalah hakikat...

Orang selalu bertanya, bila nak jadi pengetua? Rimas nak jawab. Mungkin dia ingat saya je ke yang dah tua dan lama jadi guru? Kalau balik kampung kat kelantan lagilah.. Sedara mara asyik dok tanya bila mu nak balik jadi pengetua kat Kelate ni? Teringat kata-kata kawan-kawan kat Pahang, kalau kau balik kelantan jadi guru biasa jelah. Kat Kelantan sana cikgu lama ramai, janggut dah sampai lutut bederu. Jadi gurkha jelah kamu...

Saya selalu fikir bahawa saya mungkin akan pencen kat Pahang jelah nanti. Tak terfikir lagi nak balik kelantan. Dulu, masa awal-awal dulu rajin jugak isi borang tukar setiap hujung tahun. Ada satu tahun tu masa dah lapan tahun berkhidmat beria benar nak tukar. Adalah orang politik tu kata isi je borang yang lain akan diuruskan. Punyalah yakin semua barang dipacking dan hantar balik rumah kat Kota Bharu. Las-las tk dapat. Lepas tu tk mintak lagi dah. Tambahan pula anak-anak pun dah masuk kat asrama di Temerloh, dan Kuantan. Lagilah payahnya kalau pindah kat Kelantan.

Lagu tu lah perancangan kita di dunia ini... Tidak akan sepenuhnya bahkan sebahagian kecik pun sukar untuk diramal. Apa yang berlaku hari ini sebenarnya bukan seperti yang kita harap dan ramal semalam. Apa yang kita jangka harini mungkin lain yang berlaku esoknya....

Yalah... hari ini, tahun 2009 ini... rupanya dapat DG48 Di Umur 48 tahun, walaupun memangku. Mungkin gurauan tahun lepas telah menjadi sebahagian daripada doa dan Allah telah memakbulkannya. Dan tak dijangka juga tahun selepas Ogos 2009 tidak lagi bertugas di sekolah. Kerana bermula 1 OGOS 2009 saya mula bertugas di suatu tempat. Ada menara di atas puncak sebuah gunung. MENARA IAB......