Suatu ketika, di suatu masa dahulu, di zaman-zaman 'jahiliah aku' dulu, pada tahun-tahun 1990an, ada satu kes yang mencetuskan suasana kecoh di sekolah lama saya. Masa itu saya baru setahun menjadi guru disiplin sekolah ini. Sejak saya datang dan mengajar di sekolah ini, saya terus dinamakan sebagai pengganti guru disiplin lama yang melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya pun tak tahu mengapa saya dipilih. Muka saya ni kut? Jenis payah nak senyum dan nampak samseng. Nampak je samseng tapi hatinya baik...
Suatu hari seorang guru kelas tingkatan 3 datang berjumpa dengan saya untuk meminta tolong saya pergi ke rumah seorang pelajar kelasnya yang telah dua bulan tidak hadir sekolah. Surat-surat amaran telah dihantar tetapi tidak mendapat reaksi daripada pelajar ini.
Tengahari itu selepas balik sekolah, saya terus pergi ke rumah pelajar tersebut yang tinggal di kawasan lain. Kebetulannya pula kampung pelajar saya ini sebelah kawasan tempat tinggal saya. Saya cuba membayangkan rupa pelajar saya ini..., yang mana satu?, saya sendiri tidak pasti yang mana satu pelajar ini. Saya sendiri tidak pernah mengajar tingkatan 3, itu sebabnya saya tidak tidak berapa cerap pelajar tersebut. Saya mencari-cari alamat rumah pelajar tersebut seperti yang diberikan oleh guru kelas pelajar itu. Sesampainya saya di rumah seperti yang di berikan alamatnya, saya dapat melihat kelibat seseorang terjun dari bahagian belakang rumah terus ke kebun kelapa sawit di belakang rumahnya.
"Assalamualaikum pakcik!" saya memberikan salam kepada seorang lelaki separuh umur yang sedang bersandar kepada jenang pintu rumahnya sambil menghisap rokok daun.
"waalaikumussalam" jawab pakcik tersebut acuh tak acuh tanpa memandang ke arah saya.
Saya memperkenalkan diri kepada pakcik tersebut dan bertanyakan tentang anaknya yang telah lama tidak hadir ke sekolah. Pakcik tersebut dengan muka masam dan selamba memberitahu saya bahawa anaknya tidak mahu lagi ke sekolah sebab katanya dia benci tengok muka saya. Entah dari mana datangnya ketenangan yang tuhan berikan kepada saya sehingga saya boleh berkomunikasi dengan berhemah dan lemah lembut. Sedangkan dalam situasi begini, selalunya sayalah yang terlebih dahulu angin seluruh badan kalau orang tunjuk hangin begini. Saya bertanyakan sebab mengapa anaknya marah sangat kepada saya.
"Dia kata cikgu rotan dia semasa perhimpunan pagi di sekolah". Lama saya berfikir, kes yang mana satu aku merotan pelajar semasa perhimpunan sekolah. Last sekali baru saya ingat kes pelajar tidak menghormati lagu negaraku semasa perhimpunan. Memang hari itu saya cukup panas. Beberapa orang pelajar bermain-main semasa menyanyikan lagu negaraku. Semua pelajar terbabit bulih penyakit. Dapat selibas sorang. Rasanya birat punggung dia orang semua. Saya menceritakan keadaan yang sebenarnya yang berlaku dengan baik. Nampak gayanya pakcik itu seperti anaknya tak leh terima kenyataan. Mungkin di zaman ini tidak menghormati lagu kebangsaan tidak lagi menjadi satu kesalahan serius kepada mereka. Saya tiba-tiba rasa malas nak layan orang begini. Aku menasihatkan supaya bapa pelajar tersebut memohon untuk memberhentikan sekolah anaknya secara sukarela. Saya menghulurkan surat berhenti sekolah yang memang telah disediakan oleh guru kelasnya. Selepas menandatangani surat yang saya bawakan, saya menasihatkan pelajar tersebut menyerahkan buku teksnya ke sekolah.
Besok pagi, semasa hendak ke sekolah, saya terkejut beruk, kerana di atas tangga rumah saya terdapat seberkas buku teks yang diikat dengan tali rafia. Di sebelah berkas buku teks terdapat sesuatu yang dibungkus elok seperti nasi bungkus. Ada sekeping nota ditindih menggunakan bungkusan tersebut. Saya membuka bungkusan tersebut tanpa membaca terlebih dahulu nota yang ditulis. Terkejut beruk aku bila melihat najis manusia dibungkus rapi. Nasib baik tak kena tangan. Aku terus membuang najis tersebut ke dalam semak di belakang rumah aku. Aku terus membaca nota yang disertakan dengan pelbagai rasa. Masam, pahit dan memualkan.
"Padan dengan muka cikgu yang hitam itu" tertulis nota ditulis tangan menggunakan pensil. Masih mampu panggil saya cikgu, walaupun marah.
Pagi itu dalam perhimpunan pagi, saya dengan marahnya menceritakan peristiwa yang berlaku. Pelajar-pelajar aku menunjukkan pelbagai reaksi. Ada yang gelak, tersenyum dan ada juga yang terdiam seribu bahasa. Aku tidak berapa ingat jenis-jenis perkataan yang keluar dari mulut aku. Kalau aku marah gitulah jadinya semua perkataan yang keluar tiada barisnya. Dari yang carut marut hinggalah kepada perkataan-perkataan yang 18SX pun tidak layak mendengarnya. Guru-guru juga terdiam. Tiada Siapa yang berani komen. Saya memang panas betul.
Selepas perhimpunan pagi pengetua panggil saya. Saya rasa tentunya pengetua akan bersimpati dengan nasib yang saya terima. Tentu dia juga akan menyalahkan pelajar tersebut yang kurang ajar. Sebaliknya pengetua saya yang lembut, bertomakninah serta baik hati ini, telah memberitahu saya bahawa langkah saya mengamuk diperhimpunan adalah satu langkah yang tidak bijak.
"Kalau cikgu tak cerita kat perhimpunan, hanya beberapa orang sahaja yang tahu peristiwa yang memalukan ini. Yang pertama cikgu dan keluarga cikgu dan yang kedua pelajar tersebut dan ketiga mungkin kawan-kawannya. Tapi sekarang 750 orang pelajar sekolah ini tahu. Semua guru tahu. Katakan kesemua orang yang mendengar cerita ini memberitahu satu seorang setiap satu. Maka hampir dua ribu orang akan tahu"
Aku hanya diam. Panas masih membara. Sebagai Guru novis, masih setahun jagung, aku akur dengan kata-kata pengetua. Betul jugak sebab pelajar yang melakukan perkara tersebut tidak ada dalam perhimpunan tadi. Semua yang ada tidak teribat. Yang tak tahu menjadi tahu.
Begitulah yang sering berlaku dalam sistem kita. Selalunya yang kena marah kerana tidak pergi sembahyang jumaat ialah orang yang pergi sembahyang jumaat. Pelajar yang hadir perhimpunan akan mendengar leteran guru disiplin untuk pelajar yang ponteng perhimpunan. Kesalahan yang dilakukan oleh seorang pelajar akan dikongsikan dengan seluruh pelajar di perhimpunan. Dan lagi. Dan banyak lagi.
Moralnya. Tidak semua perkata boleh dikongsikan dengan orang lain. Kadang-kadang apa yang kongsikan atas apa alasan sekalipun marah, dendam, melepaskan geram, ada kalanya memalukan diri kita sendiri. Pengetua sekolah juga sepatutnya seperti pengetua saya di atas. Tenang, bijak dan pandai menyelesaikan masalah yang berlaku dalam sekolah. Harapannya selepas ini kita tidak lagi seperti imam di masjid seperti cerita di atas. Medan perhimpunan pun biarlah menjadi tempat memuji pelajar-pelajar yang mematuhi disiplin..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments:
Post a Comment