Hari Yang Suram

Hari ini hujan renyai dengan langit gelap menyambut kedatangan pagi yang suram. Hari ini keputusan UPSR diumumkan. Anakku yang baru mendapat keputusan UPSR berkurung dalam biliknya. Keputusan 3A2B tentu sekali keputusan yang diluar dugaan samasekali. Setelah melalui pahit getir membuat persediaan menghadapi UPSR, dengan harapan calon 5A sekolah, keputusan ini tentu sekali mengecewakannya. Tambahan pula beliau memegang jawatan Ketua Pengawas Sekolah. Beberapa orang calon yang tidak termasuk dalam target sekolah berjaya memperolehi 5A menambahkan lagi pilu di hatinya.

Saya juga sebagai bapa tidak kurang rasa kecewa dengan keputusan ini. Namun sebagai bapa saya tidak boleh menunjukkan rasa hampa yang keterlaluan. Uminya, pada mula sudah memulakan leteran tetapi saya cepat menghentikannya. Jangan dilambah lagi luka dan duka anak yang masih mentah ini.

Tapi yang pasti, esok bila anak-anak saya yang berada di sekolah sains Kuantan dan Temerloh balik untuk bercuti panjang, pasti menambahlagi duka Izzqy. Tadi pun selepas waktu rehat sekolah masing-masing, berturut-turut mereka telefon bertanyakan keputusan UPSR adiknya. Mereka berdua terkejut dan tidak percaya. Sehingga malam ini sekali lagi mereka telefon bertanyakan hal yang sama. Saya masih ingat bagaimana mereka sering cabar mencabar antara satu sama lain. Abangnya semasa tahun 2004 berkata tengok abang Ketua Pengawas sekolah dapat 5A. Tahun depan kau Izzmy mesti jadi Ketua Pengawas dan dapat 5A. Begitulah yang belaku Tahun 2005, Izzmy pula menjadi Ketua Pengawas dan mendapat 5A. Atas tuntutan tugas saya bertukar sekolah semasa Izzqy tahun 5 dan berpindak ke sekolah baru tanpa menyambung tugas sebagai pengawas sekolah. Semasa tahun 6 Izzqy telah dilantik sebagai pengawas dan dicalonkan sebagai Ketua Pengawas serentak. Selepas dua minggu percubaan, akhirnya Izzqy juga telah dilantik sebagai Ketua Pengawas, yang sama sekali tidak dijangkakan. Lalu berkatalah mereka, kita semua jadi Ketua Pengawas, maka kita semua mesti dapat 5A. Itu sebab keputusan ini sangat mengecewakan Izzqy....

Tidak dapat tidak saya tidak boleh menyembunyikan rasa kecewa kerana kegagalan anak saya memperolehi 5A. Saya lupa untuk mengurangkan pengharapan yang tinggi seperti yang saya lakukan sebelum perlawanan bola sepak akhir piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan baru-baru ini. Sebelum perlawanan akhir tersebut saya sempat berbisik dengan hati saya. Menang dan kalah perlawanan akhir, sebenarnya tidak penting. Yang penting Kelantan berjaya ke perlawanan akhir untuk dua piala. Itu satu kejayaan yang cukup besar buat Kelantan. Sebab itu saya tidak kecewa bila Kelantan Kecundang di perlawanan akhir piala Malaysia.

Sepatutnya saya juga perlu berbisik begitu dengan hati saya. 3A2B juga suatu kejayaan. Saya tidak perlu rasa sedih yang akan membuatkan anak saya menjadi bertambah duka.

Buat IzzQy, sabarlah nak. Ini baru permulaan. Buktikan dalam PMR nanti... Tahniah kepada pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang UPSR 2009. Tahniah kepada SK Desa jaya kerana masih mengekalkan status sekolah paling ramai pelajar memperolehi 5A.

0 comments:

Post a Comment