Kawan Lama

Harini, 11.5.2010, setelah sekian lama tiada kesempatan waktu, setelah berlalu masa-masa sibuk dan masa kalut, dapat jua aku sedikit masa untuk mencelah masuk ke blog ini untuk update. Seronok rasanya hari ini, bukan sahaja aku berpeluang untuk update blog ini tetapi juga kerana aku dapat menghubungi semula kawan lama yang banyak memberikan inspirasi, semangat dan motivasi kepada saya semasa saya mula-mula terlibat dalam bidang pendidikan.

Cikgu Ajni, setelah 13 tahun berpisah kerana beliau telah bertukar tempat kerja, hari ini dapat nombor talipon beliau melalui isterinya yang menjadi kawan kepada kawan saya dalam facebook. Cikgu Ajni bukan sahaja seorang guru yang baik, beliau juga seorang yang lain yang baik juga dalam bidang sukan, olahraga dan permainan. Banyak jasanya telah ditinggalkan di sekolah SMK Jengka 21. Pada masa dia menjadi Setiausaha Sukanlah kita cemerlang dalam bidang sukan bukan sahaja di daerah maran, malah beberapa nama besar juga berjaya dicipta di peringkat negeri Pahang. Masa ini lah kita telah berjaya mewujudkan skim kecemerlangan sukan olahraga dimana insentif kewangan diberikan kepada pemenang pingat di kejohanan MSSD dan MSSP. Dengan kerjasama PIBG, insentif ini berjaya memotivasikan pelajar. Saya selaku SU PIBG dan Cikgu Ajni selaku Su Sukan. Senonok dan penuh keseronokan bekerja.

Saya jugalah yang dicadangkan nama untuk menggantikan beliau sebagai cikgu disiplin sekolah, walupun puas saya menolaknya. Beliau memujuk saya untuk menerima tugas guru disiplin dengan janji beliau akan membantu saya sepenuhnya. Apa yang berlaku etlah berlaku dan Cikgu Ajni memang mengotakan janjinya membantu saya menguruskan disiplin sekolah. Banyak tindakan disiplin telah kita buat bersama. Banyak kes yang kita kendali bersama dan banyak juga masalah pelajar yang kita sama-sama lksanakan.

Saya banyak memerah otak tua ini untuk mengingatkan kes-kes istimewa untuk dicatatkan dlam ruangan ini. Dengan terjalin semula persahabatan ini aku rasa banyak lagi kes-kes pelajar yang dapat dikongsi bersama.

Insyaallah....

No.2 (4)

”Boleh, boleh, boleh, lagi, lagi ooooop!” Cikgu Azman yang tanpa diminta bantuannya berlagak seperti budak penjaga parking tersengih-sengih menguit-nguit tangan cuba membantu.

”Cikgu Su memang hebat, sebab tu setiap hari potong kereta saya masa datang ke sekolah. Betul seperti kata orang, perempuan ni kalau lembab, lembab sangat bawa kereta. Tapi kalau cekap, macam pelesit, bedesup!” puji cikgu Azman.

”Ye lah tu...”
Malas Suraya nak melayan lagi...

Suraya membeluk masuk ke stesen minyak. Bergegas dia ke belakang untuk melepaskan
fitrah semula jadi manusia, membuang sebahagian lebihan cecair di dalam badan. Lenguh-lenguh seluruh badang mula terasa. Kakinya mula terasa kebas. Dia menggeliat kecil meregang urat-urat badan yang kendur. Suraya melihat jam ditangannya. Pukul 2.30 petang sekarang.

”Jarak ke destinasi yang dituju masih 130 km lagi. Kalau aku pandu purata 80 km sejam bermakna paling cepat aku akan sampai pukul dalam sejam setengah lagi. Makan, sembahyang jamak dan rehat sekejap, pukul 3.15 petang boleh bertolak. Maknanya pukul 4.45 petang boleh sampai, kalau lewat sikit pun masih ada waktu sebelum malam” congak Suraya sendirian. Suraya cuba untuk mengelakkan sampai ke rumah sewanya sebelum malam. Maklum sajalah dia baru pertama kali sampai di sini. Namun begitu rumah sewanya telah diuruskan oleh kerani sekolah barunya yang dihubungi melalui telefon selepas dia mendapat surat pertukaran ke sekolah baru ini dua minggu lepas.

Suraya memesan ’tea O’ kegemarannya bersama nasi ayam. Bila letih selepas melalui perjalanan yang memenatkan, selera makannya hilang. Selepas puas berfikir akhirnya makan nasi ayam sudahnya. Bukanlah kerana seleranya hilang sangat, tapi Suraya adalah jenis yang kurang makan. Dia kerap makan, tapi sikit-sikit. Pesan arwah neneknya supaya kurang makan nasi dan kurangkan manis selalu diamalkan. Paling dia ingat pesan arwah nenek kesayangannya ialah jangan terus minum air bila lepas makan. Kadang-kadang sampai dua jam lepas makan barulah dia minum. Sebab itulah Suraya bukan sahaja cantik tetapi nampak cantik. Kawan-kawan sekolahnya sering bertanya kehairanan, bagaimana dia boleh menahan diri daripada dahaga apabila makan.

”Kunyah dulu sampai lumat, barulah telan. Lagipun kuah yang kita makan bersama nasi memang dah bertindak sebagai cecair yang mengurangkan dahaga. Yang penting sekali jangan gelojoh masa makan. Di samping dapat jaga badan, kita juga nampak sopan bila makan” macam pakar pemakanan pula Suraya menjelaskan panjang lebar kepada Suzana semasa mereka makan dikantin sekolah suatu masa dulu.

Sedang Suraya menikmati nasi ayam, terasa dia seperti sedang diperhatikan. Kata orang tua-tua kuasa mata sangat kuat. Kalau kita memandang seseorang dengan pandangan yang agak lama, orang yang kita pandang itu akan terasa dipandang dan akan memberikan tindak balas. Sebab itu kalau kita nak seseorang itu memandang ke arah kita, pandang dan renungkanlah seseorang itu dalam tempoh yang agak lama. Insyaallah orang itu akan pandang kepada kita walaupun dia tidak melihat ke arah kita semasa kita memandangnya. Itu antara petua dan pesanan neneknya dulu.

Tak salah lagi tekaan Suraya, berselang tiga meja dihadapannya seorang lelaki sedang memerhatinya. Seorang lelaki lewat 40an, dengan topi keledar fullface di atas meja, sarung tangan kulit dan berseluar jeans.

“Mat rempit tua yang gatal” bisik hati Suraya meluat. Lelaki itu tersenyum. Malas Suraya nak melayan. Lelaki memang macam tu. Pantang melihat perempuan sendirian. Mulalah nak mencuba, mulalah nak menuba. Begitulah lelaki, dah berumur tu buatlah cara tua. Jagalah anak isteri kat rumah. Inilah bahayanya lelaki yang berumur 40an, masih terasa muda. Masih nak bergaya, nak berlagak macam belia.

”Tapi..., hensem jugak orang tua ni” bisik naluri semulajadi kewanitaan Suraya.
”Ni, bukan abang rempit kokak ni. Mesti orang tua rempit berkerjaya” puji Suraya secara diam.

Suraya kembali sedar daripada khayalannya. Lelaki dihadapannya masih lagi memandangnya sekali sekala. Suraya menghabisan tegukan terakhir ’teh O’nya dan beredar untuk ke surau di sebelah gerai makan. Suraya terus mengambil wuduk dan terus solat jamak. Selepas solat Suraya terus bergegas untuk meneruskan perjalanan.

bersambung....

No.2 (3)

”Sampai bila agaknya kesedaran pemanduan berhemah di kalangan pemandu-pemandu di Malaysia ini akan berubah?”
”Kalau tanya pendapat orang ramai, tentu mereka akan kata cikguuu jugak yang salah” kerana tidak berjaya menerapkan nilai-nilai murni dalam semua aspek kehidupan. Memang betul pun cikgu yang salah, tapi bukan cikgu kat sekolah. Cikgu sekolah memandu yang salah. Sepatutnya sikap, cara dan tabiat ini perlu disemai semasa bakal pemandu ini berada di alam persekolahan pemanduan..

Batu penanda jarak yang telah usang ditepi jalan menunjukkan 162 km lagi untuk dia sampai ke destinasi yang ditujunya. 162 km lagi?. Jauh lagi perjalanan yang perlu ditempuhnya. Sejauh perjalanan hidupnya yang mungkin masih belum tentu penghujungnya. Kiri dan kanan jalan dipenuhi dengan pokok-pokok kelapa sawit yang menghijau. Sebaya dan sama saiz antara pokok-pokok kelapa sawit yang ditanam. Daun-daunnya hijau pekat berkilat dipanahi cahaya matahari. Sejauh mata memandang sejauh itu pula kehijauan dedaunan menyejukkan alam.

”Subur dan segar sekali pokok pokok kelapa sawit ini” Bisik hati Suraya.
”Tentu pihak-pihak yang bertanggungjawab telah menjalankan tugasnya dengan baik” Suraya mengagak dan membuat andaian sendiri.

”Inilah antara hasil kebijaksanaan pemimpin terdahulu, yang telah memerah fikiran melahirkan gagasan rancangan Dasar Ekonomi Baru untuk membasmi kemiskinan orang-orang Melayu diluar bandar. Hutan belantara yang dulunya menjadi tempat kediaman segala macam makhluk, binatang buas, binatang jinak, makhluk halus dan makhluk kasar kini telah menjadi penyumbang rezeki yang lumayan kepada penduduk’. Fikir Suraya sendirian.

R&R, 5 km di hadapan, papan tanda besar terpampang di tepi jalan raya. Suraya berasa sangat lega. Perutnya yang telah lama membengkak kerana terlalu lama menahan kencing. Lagi pun meter penunjuk petrolnya telah menunjukkan tanda separuh kosong perlu diisi penuh semula. Takut nanti tiada stesen minyak selepas ini, kes naya jadinya. Dia bukan biasa dengan jalan ini, perlu sekali dia berwaspada. Malah, semalam keretanya telah diservis untuk memastikan perjalanannya tidak terganggu. Suraya bukan jenis pemandu kereta yang hanya tahu naik kereta. Kalaupun tidak dapat dikatakan mahir selok belok penjagaan kereta, sedikit sebanyak dia tahu juga bila kereta perlu diservis. Dia tahu bila masa perlu ditambah air baterinya. Dia juga sedar masa untuk menukar tayar, walau pun dia mungkin tidak mampu menukar tayar keretanya yang pancit sendirian. Dia juga tahu mana letaknya minyak brek dan di mana pula duduknya minyak power stering. Dia juga buka jenis lady driver seperti anggapan orang lelaki terhadap pemandu-pemandu wanita.

”Lesen test bang, bukan lesen beli, KL lagi” sindir Suraya kepada Cikgu Azman semasa dia revest keretanya dalam kelompok kereta yang banyak semasa mesyuarat agung PIBG sekolahnya beberapa tahun lepas.

bersambung

No.2 (2)

”Mengapa diubah rentak asal lagu ini. Tak best le rentak baru. Mengapa semua lagu mesti diurbankan” bantah hati kecil Suraya. Sifat semulajadinya yang terus saja mengatakan tidak bila tidak suka dan menyatakan ya bila suka ini memang diwarisi sejak kecil lagi.

“Orang yang asertif akan menyuarakan rasa hatinya tanpa berselindung. Contohnya kalau sedang beratur di kaunter pembayaran dan terdapat orang yang tidak mematuhi peraturan dengan memotong barisan, orang yang bersifat arsetif akan menegur perbuatan tersebut. Orang arsetif tidak suka berkias-kias. Dia akan menegur terus tanpa berselindung” Dr Hajjah Fatimah menyampaikan salah satu topik dalam kuliahnya semasa Suraya mengikuti pengajian peringkat sarjana beberapa tahun dahulu. Itu pertama kali dia sedar bahawa dia memiliki sifat-sifat arsertif. Yang dia tahu dia suka berterus terang. Baik dikata baik, yang buruk dikatakan buruk. Dia memang benci pada orang suka cakap di belakang. Mungkin itulah sebabnya dia menerima nasib sebegini. Tidak ramai di kalangan kita bersedia untuk ditegur. Tambahan pula kalau yang menegur itu orang bawahan.

”Di mana sekarang ini Amir Hakimi sedang berada?” tiba-tiba terlintas kenangan lamanya bersama Amir Hakimi. Pemuda yang pernah menjadi pujaan hatinya. Pemuda yang pertama dan terakhir yang pernah mendapat tempat dihatinya. Satu-satu pemuda yang telah memenangi cintanya! Satu-satunya pemuda yang telah berjaya mencuri hatinya. Dan sehingga kini hatinya yang dicuri Amir Hakimi belum dikembalikan. Sebab itu dia seperti tiada hati lagi untuk menerima lelaki lain selepas Amir Hakimi. Tiada orang lain sebelum Amir Hakimi yang berjaya bermukim di hatinya. Tiada jua pemuda lain selepas Amir Hakimi berjaya memujuk cintanya yang luka. Pun mungkin tiada lagi selepas ini dan selamanya untuk sesiapa bernama lelaki yang dapat memujuk hatinya yang telah keras. Luka di hati tidak berdarah lagi. Darah luka lama telah membeku. Tentu sakitnya lebih mendalam. Ibarat darah beku di dalam otak yang semestinya membawa ajal......

”Aku tidak perlukan lelaki lagi dalam hidupku ini.” keras dan kejam tekad hatinya.
”Aku ada apa yang aku patut ada. Aku ada kerjaya, aku ada rumah, aku ada kereta, aku ada wang” fikiran kerasnya terus memupuk rasa ego dirinya.
”Aku Cuma tak ada lelaki, tak ada suami!, tapi untuk apa semua itu?. Aku masih boleh hidup. Aku boleh menyara hidupku sendiri.”
Sebuah kereta yang yang datang dari arah hadapan memotong laju sebuah lori kecil dalam jarak yang hampir dengan keretanya, mengejutkan Suraya daripada lamunan.

” Memang hebat pemandu di Malaysia ini. Tak takut mati langsung”
rungut hati kecil Suraya.

”Patutlah banyak nyawa terkorban di jalan raya. Memandu membabi buta tanpa menghiraukan pengguna jalanraya yang lain.” Marah betul Suraya kepada pemandu ala samseng begini.

bersambung...

No.2 (1)

Bab 1

Mentari sejengkal di atas kepala. Terik bahang mentari begitu terasa. Aircond kereta pada laras dua tidak cukup menyamankan kehangatan. Sepanjang perjalanan wap haba jalan raya jelas mengerlip sejauh beberapa ratus meter di hadapan. Mata Suraya yang sepet bertambah sepet dek silau sinaran mentari yang menusuk. Dia meraba-raba poket pintu kereta di sebelahnya, mencari cermin mata hitam yang jarang dipakainya. Dia pasti disitulah tempat cermin mata hitamnya disimpan. Walaupun cermin mata hitam Christian Dior yang dibelinya semasa berkursus di Langkawi 4 tahun yang lalu, dia jarang memakainya.

”Wow cutenya cikgu” usik Idayu semasa melintas dihadapannya pada kejohanan Olahraga peringkat sekolah beberapa tahun yang lalu. Itulah kali pertama cermin mata hitam itu dipakai di khalayak. Itu pun bukan untuk menunjuk lagak. Dia hanya memakai untuk menahan terik pancaran matahari semasa bertugas di padang. Sesebelumnya dia hanya memakainya di hadapan cermin solek di rumahnya sahaja. Bukanlah dia tidak pandai bergaya dan bukan pula dia malu untuk bergaya. Dia rasa bercermin mata hitam terlalu janggal untuk kerap dipakai. Terasa seperti banyak mata yang menumpu. Segan jugak kalau selalu dan terlalu diperhatikan. Naluri semula jadi manusia perempuan, lebih-lebih lagi perempuan yang lebih wanitanya tentu tidak senang duduk kalau diperhatikan. Budak-budak perempuan yang berpakaian seksi dan tentunya lebih betinanya, yang sering menyidai perut dan pusatnya juga tidak tertahan malu kalau sering diperhatikan. Mulalah nak tarik baju yang singkat apabila ada Mamat-Mamat sekelilingnya merenung tajam dan mencuri pandang kepadanya.

Info trafik di radio, sedang ke udara. Juruhebah dengan lancarnya memaklum jalan-jalan utama di Kuala Lumpur yang tidak lancar dan tersekat-sekat. Jalan-jalan utama mulai sesak. Yalah, sekarang pun dah pukul satu lima puluh tengahari. Tentu ramai pengguna jalan raya sedang bersesak-sesak, berlumba untuk masuk semula ke pejabat selepas rehat dan makan tengahari. Bercampur baur pula dengan pelbagai golongan manusia dengan berbagai urusan menyendatkan lagi jalan-jalan di Kuala Lumpur pada waktu-waktu puncak begini. Inilah suasana yang sering dialami sebelum ini, sepanjang 10 tahun dia bertugas di Kuala Lumpur. Kesesakan jalanraya sudah menjadi perkara biasa. Orang Kuala Lumpur sudah lali dengan suasana kesesakan jalan di Kuala Lumpur.

Kini lebuhraya Karak terbentang lurus dihadapan dengan jumlah kereta yang berkali-kali ganda kurangnya. Perjalanan pada kelajuan 90 km sejamnya, jarang tersekat. Hanya sesekali dia terpaksa memperlahankan kenderaan. Itu pun kerana terpaksa mengekori lori-lori muatan berat yang panjang atau lori-lori balak yang belum puas memunggah hasil-hasil hutan.

Dua insan bercinta dendangan Ella sedang ke udara. Lagu ini pernah menjadi siulannya semasa di universiti dulu. Lagu yang pernah menjadi saksi kasihnya kepada seniornya. Lagu yang pernah menjadi saksi janji setianya kepada Amir Hakimi. Patah-patah lirik lagu ini bagai melekat dihatinya. Spontan dia dapat ikut menyanyi bersama lagu ini. Dia melaraskan bunyi radionya lebih kuat.

Bersambung.....

Permulaan Tahun Baru: Masa Paling Sibuk di sekolah

Apabila bermula sahaja tahun baru, guru adalah antara kumpulan paling sibuk. Bermula dengan mesyuarat pertama yang selalunya diadakan seminggu sebelum bermula sesi persekolahan baru. Pada masa ini akan berlaku segala macam perubahan. Segala bentuk pengubahsuaian. Sekolah adalah institusi pendidikan yang fleksible. Perubahan organisasi pasti berlaku. Dari sumber manusianya hingalah perubahan fizikalnya. Ada ketikanya pucuk pimpinan bertukar. Adakalanya guru-guru pula bertukar. Bangunan baru yang baru siap dari segi fizikalnya. Perubahan kelas. Pertambahan bilik darjah. Pengurangan pelajar kerana wujud sekolah berhampiran dan sebagainya.

Perubahan yang berlaku ini yang sering pula berlaku pada saat sesi persekolahan akan bermula. Ada guru yang berubah mata pelajaran yang diajar dan ada juga guru yang mengajar mata pelajaran yang sama seperti tahun sebelumnya. Perubahan mata pelajaran bagi setiap guru sering berlaku di sekolah untuk menyesuaikan situasi sekolah yang selalu juga kehilangan guru akibat berlakunya perpindahan. Inilah perbezaan yang sering berlaku disekolah yang membezakan seseorang guru dengan anggota perkhidmatan awam lain. Di jabatan-jabatan lain, walaupun seseorang itu berpindah, dia tetap akan melaksanakan tugas yang sama seperti sebelumnya. Guru pula, perpindahan memungkinkan seseorang itu akan kehilangan mata pelajaran yang diajarkan pada tahun sebelumnya. Guru yang baru datang kesesebuah sekolah akan akur dengan keadaan sedia ada di sekolah. Kalau disesebuah sekolah itu sedia ada guru yang mengajar mata pelajaran yang diajar oleh guru baru, guru baru terpaksa mengalah. Perlu dilihat pada kekosongan mata pelajaran lain.

Guru-guru ini pula akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan mata pelajaran barunya untuk menjadi lebih cekap dan berkesan. Walau pun guru tersebut mendapat mata pelajaran yang sama dengan opsyennya dia mungkin akan diberikan tingkatan yang berlainan. Suakatan yang berbeza dengan pendekatan yang berbeza. Ini lumrah. Sering berlaku. Guru ini pasti akan nanar seketika.

Dalam masa yang sama, pada hari pertama persekolahan. Pemantauan mungkin akan berlaku. Kita mungkin tertanya-tanya, mengapa hari pertama ini begitu penting. Sehinggakan akan kosong pejabat JPNP dan PPD kerana semua pegawai akan dikerah ke sekolah untuk memastikan P&P bermula pada hari pertama. Perlu diingat masa inilah pendaftaran pelajar baru akan dilangsungkan. Pembahagian buku teks juga dijalankan. Pelajar nak bayar yuran. Orientasi pelajar tingkatan 1 dan 4 akan bermula dan sebagainya. Sementara pelajar asrama pula akan mula mendaftar dan membayar yuran untuk asrama. Guru juga sibuk. Sibuk mencari sukatan pelajaran, huraian sukatan pelajaran, buku teks buku rujukan dan sebagainya.

Saya rasa hari yang kalut dengan aktiviti pengurusan. Datanglah hari kedua, ketiga atau sebaiknya minggu kedua. Kalau dah minggu kedua belum bersedia untuk P&P itu memang parah semulajadilah. Patutlah ditegur.

Selamat tahun baru dan selamat memulakan tugas untuk semua guru di serata Malaysia.

Selamat Tahun Baru 2010

Gambar: Forum Kami
Tahun 2009 telah pergi. Banyak kenangan manis dan sebaliknya telah dicatatkan sepanjang tahun tersebut. Tahun 2009 menyaksikan saya meninggalkan organisasi sekolah tetapi masih kekal dalam institusi pendidikan. Dari seorang guru yang telah 16 tahun bergelumang dengan pahit manis tiba-tiba tanpa dirangka dan dirancang, saya berhijrah ke Institut Aminuddin Baki. Tidak lagi menjadi Cikgu. Tidak lagi dipanggil guru. Tetapi sekarang jadi Pensyarah IAB. Saya masih ingat gurauan bekas pensyarah Institut Kepengetuaan, Allahyarham Dr. Hussein Mahmud. Dalam satu kuliahnya, beliau
menyebut selalunya apabila seseorang cikgu bertukar jawatan atau naik pangkat, keluar sekolah sama ada ke PPD, JPN, atau mana bahagian di Kementerian. Peribadi cikgunya akan bertukar. Ciri-ciri gurunya akan hilang. Menjadi sombong. Lebih banyak mengarah dan sebagainya. Salah satu sebab kata adalah disebabkan panggilan kepada orang tersebut telah berubah. Kalau dulu orang panggil Cikgu. Cik untuk panggilan hormat dan gu untuk kawan atau regu. Jadi bila dah panggil cik sahaja gu telah hilang. Sebab itu jadi sombong. Mungkin itu satu lawak semata-mata. Saya sentiasa beringat-ingat supaya tidak terlupa pada gu walaupun sekarang lebih ramai yang dah panggil cik/encik.

Satu kebetulan atau satu peringatan Allah yang maha kuasa, sambutan tahun baru 2010 diikuti fenomena alam bulan gerhana separa. Walaupun tidak penuh, tetap berlaku gerhana. Apa makna gerhana. Simboliknya gerhana bermaksud tidak bagus, tidak lancar, lembab dan lain-lain yang membawa maksud negatif. Apakah gerhana akan menyelubungi hidup kita 2010. Gerhana untuk bidang mana? Apakah ekonomi negara akan terus gerhana? Menggigil untuk disebut. Gerhana ekonomi akan menimbulkan gerhana dalam bidang lain. Gula dah naik harga. Bayaran asrama ank-anak juga naik untuk ibubapa berpendapatan RM5000 ke atas. Selama ini RM1.00 sehari kepada RM3.00 sehari. Sekolah harian berasrama khabarnya akan balik setiap hujung minggu untuk menyelamatkan perbelanjaan makan selama dua hari seminggu. Tepung pula sudah ditarik balik subsidi dan status barang kawalan. Maknanya harga tepung akan ditentukan di pasaran. Pasti segera akan naik ialah harga roti canai dan kueh di pasaran. Apakah itu tanda ekonomi negara terus gerhana tahun 2010.

Kalau banyak urusan murid dan pelajar sekolah yang banyak disubsidikan ditarik balik tahun hadapan, tentunya banyak aktiviti di sekolah akan terencat. Harap-harap keadaan ini semua akan cepat berlalu. Dan pendidikan negara akan terus dapat dijana dengan sempurna kerana, pendidikan hari ini akan menentukan negara masa akan datang.