Permulaan Tahun Baru: Masa Paling Sibuk di sekolah

Apabila bermula sahaja tahun baru, guru adalah antara kumpulan paling sibuk. Bermula dengan mesyuarat pertama yang selalunya diadakan seminggu sebelum bermula sesi persekolahan baru. Pada masa ini akan berlaku segala macam perubahan. Segala bentuk pengubahsuaian. Sekolah adalah institusi pendidikan yang fleksible. Perubahan organisasi pasti berlaku. Dari sumber manusianya hingalah perubahan fizikalnya. Ada ketikanya pucuk pimpinan bertukar. Adakalanya guru-guru pula bertukar. Bangunan baru yang baru siap dari segi fizikalnya. Perubahan kelas. Pertambahan bilik darjah. Pengurangan pelajar kerana wujud sekolah berhampiran dan sebagainya.

Perubahan yang berlaku ini yang sering pula berlaku pada saat sesi persekolahan akan bermula. Ada guru yang berubah mata pelajaran yang diajar dan ada juga guru yang mengajar mata pelajaran yang sama seperti tahun sebelumnya. Perubahan mata pelajaran bagi setiap guru sering berlaku di sekolah untuk menyesuaikan situasi sekolah yang selalu juga kehilangan guru akibat berlakunya perpindahan. Inilah perbezaan yang sering berlaku disekolah yang membezakan seseorang guru dengan anggota perkhidmatan awam lain. Di jabatan-jabatan lain, walaupun seseorang itu berpindah, dia tetap akan melaksanakan tugas yang sama seperti sebelumnya. Guru pula, perpindahan memungkinkan seseorang itu akan kehilangan mata pelajaran yang diajarkan pada tahun sebelumnya. Guru yang baru datang kesesebuah sekolah akan akur dengan keadaan sedia ada di sekolah. Kalau disesebuah sekolah itu sedia ada guru yang mengajar mata pelajaran yang diajar oleh guru baru, guru baru terpaksa mengalah. Perlu dilihat pada kekosongan mata pelajaran lain.

Guru-guru ini pula akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan mata pelajaran barunya untuk menjadi lebih cekap dan berkesan. Walau pun guru tersebut mendapat mata pelajaran yang sama dengan opsyennya dia mungkin akan diberikan tingkatan yang berlainan. Suakatan yang berbeza dengan pendekatan yang berbeza. Ini lumrah. Sering berlaku. Guru ini pasti akan nanar seketika.

Dalam masa yang sama, pada hari pertama persekolahan. Pemantauan mungkin akan berlaku. Kita mungkin tertanya-tanya, mengapa hari pertama ini begitu penting. Sehinggakan akan kosong pejabat JPNP dan PPD kerana semua pegawai akan dikerah ke sekolah untuk memastikan P&P bermula pada hari pertama. Perlu diingat masa inilah pendaftaran pelajar baru akan dilangsungkan. Pembahagian buku teks juga dijalankan. Pelajar nak bayar yuran. Orientasi pelajar tingkatan 1 dan 4 akan bermula dan sebagainya. Sementara pelajar asrama pula akan mula mendaftar dan membayar yuran untuk asrama. Guru juga sibuk. Sibuk mencari sukatan pelajaran, huraian sukatan pelajaran, buku teks buku rujukan dan sebagainya.

Saya rasa hari yang kalut dengan aktiviti pengurusan. Datanglah hari kedua, ketiga atau sebaiknya minggu kedua. Kalau dah minggu kedua belum bersedia untuk P&P itu memang parah semulajadilah. Patutlah ditegur.

Selamat tahun baru dan selamat memulakan tugas untuk semua guru di serata Malaysia.

0 comments:

Post a Comment