Selamat Tahun Baru 2010

Gambar: Forum Kami
Tahun 2009 telah pergi. Banyak kenangan manis dan sebaliknya telah dicatatkan sepanjang tahun tersebut. Tahun 2009 menyaksikan saya meninggalkan organisasi sekolah tetapi masih kekal dalam institusi pendidikan. Dari seorang guru yang telah 16 tahun bergelumang dengan pahit manis tiba-tiba tanpa dirangka dan dirancang, saya berhijrah ke Institut Aminuddin Baki. Tidak lagi menjadi Cikgu. Tidak lagi dipanggil guru. Tetapi sekarang jadi Pensyarah IAB. Saya masih ingat gurauan bekas pensyarah Institut Kepengetuaan, Allahyarham Dr. Hussein Mahmud. Dalam satu kuliahnya, beliau
menyebut selalunya apabila seseorang cikgu bertukar jawatan atau naik pangkat, keluar sekolah sama ada ke PPD, JPN, atau mana bahagian di Kementerian. Peribadi cikgunya akan bertukar. Ciri-ciri gurunya akan hilang. Menjadi sombong. Lebih banyak mengarah dan sebagainya. Salah satu sebab kata adalah disebabkan panggilan kepada orang tersebut telah berubah. Kalau dulu orang panggil Cikgu. Cik untuk panggilan hormat dan gu untuk kawan atau regu. Jadi bila dah panggil cik sahaja gu telah hilang. Sebab itu jadi sombong. Mungkin itu satu lawak semata-mata. Saya sentiasa beringat-ingat supaya tidak terlupa pada gu walaupun sekarang lebih ramai yang dah panggil cik/encik.

Satu kebetulan atau satu peringatan Allah yang maha kuasa, sambutan tahun baru 2010 diikuti fenomena alam bulan gerhana separa. Walaupun tidak penuh, tetap berlaku gerhana. Apa makna gerhana. Simboliknya gerhana bermaksud tidak bagus, tidak lancar, lembab dan lain-lain yang membawa maksud negatif. Apakah gerhana akan menyelubungi hidup kita 2010. Gerhana untuk bidang mana? Apakah ekonomi negara akan terus gerhana? Menggigil untuk disebut. Gerhana ekonomi akan menimbulkan gerhana dalam bidang lain. Gula dah naik harga. Bayaran asrama ank-anak juga naik untuk ibubapa berpendapatan RM5000 ke atas. Selama ini RM1.00 sehari kepada RM3.00 sehari. Sekolah harian berasrama khabarnya akan balik setiap hujung minggu untuk menyelamatkan perbelanjaan makan selama dua hari seminggu. Tepung pula sudah ditarik balik subsidi dan status barang kawalan. Maknanya harga tepung akan ditentukan di pasaran. Pasti segera akan naik ialah harga roti canai dan kueh di pasaran. Apakah itu tanda ekonomi negara terus gerhana tahun 2010.

Kalau banyak urusan murid dan pelajar sekolah yang banyak disubsidikan ditarik balik tahun hadapan, tentunya banyak aktiviti di sekolah akan terencat. Harap-harap keadaan ini semua akan cepat berlalu. Dan pendidikan negara akan terus dapat dijana dengan sempurna kerana, pendidikan hari ini akan menentukan negara masa akan datang.

0 comments:

Post a Comment