No.2 (1)

Bab 1

Mentari sejengkal di atas kepala. Terik bahang mentari begitu terasa. Aircond kereta pada laras dua tidak cukup menyamankan kehangatan. Sepanjang perjalanan wap haba jalan raya jelas mengerlip sejauh beberapa ratus meter di hadapan. Mata Suraya yang sepet bertambah sepet dek silau sinaran mentari yang menusuk. Dia meraba-raba poket pintu kereta di sebelahnya, mencari cermin mata hitam yang jarang dipakainya. Dia pasti disitulah tempat cermin mata hitamnya disimpan. Walaupun cermin mata hitam Christian Dior yang dibelinya semasa berkursus di Langkawi 4 tahun yang lalu, dia jarang memakainya.

”Wow cutenya cikgu” usik Idayu semasa melintas dihadapannya pada kejohanan Olahraga peringkat sekolah beberapa tahun yang lalu. Itulah kali pertama cermin mata hitam itu dipakai di khalayak. Itu pun bukan untuk menunjuk lagak. Dia hanya memakai untuk menahan terik pancaran matahari semasa bertugas di padang. Sesebelumnya dia hanya memakainya di hadapan cermin solek di rumahnya sahaja. Bukanlah dia tidak pandai bergaya dan bukan pula dia malu untuk bergaya. Dia rasa bercermin mata hitam terlalu janggal untuk kerap dipakai. Terasa seperti banyak mata yang menumpu. Segan jugak kalau selalu dan terlalu diperhatikan. Naluri semula jadi manusia perempuan, lebih-lebih lagi perempuan yang lebih wanitanya tentu tidak senang duduk kalau diperhatikan. Budak-budak perempuan yang berpakaian seksi dan tentunya lebih betinanya, yang sering menyidai perut dan pusatnya juga tidak tertahan malu kalau sering diperhatikan. Mulalah nak tarik baju yang singkat apabila ada Mamat-Mamat sekelilingnya merenung tajam dan mencuri pandang kepadanya.

Info trafik di radio, sedang ke udara. Juruhebah dengan lancarnya memaklum jalan-jalan utama di Kuala Lumpur yang tidak lancar dan tersekat-sekat. Jalan-jalan utama mulai sesak. Yalah, sekarang pun dah pukul satu lima puluh tengahari. Tentu ramai pengguna jalan raya sedang bersesak-sesak, berlumba untuk masuk semula ke pejabat selepas rehat dan makan tengahari. Bercampur baur pula dengan pelbagai golongan manusia dengan berbagai urusan menyendatkan lagi jalan-jalan di Kuala Lumpur pada waktu-waktu puncak begini. Inilah suasana yang sering dialami sebelum ini, sepanjang 10 tahun dia bertugas di Kuala Lumpur. Kesesakan jalanraya sudah menjadi perkara biasa. Orang Kuala Lumpur sudah lali dengan suasana kesesakan jalan di Kuala Lumpur.

Kini lebuhraya Karak terbentang lurus dihadapan dengan jumlah kereta yang berkali-kali ganda kurangnya. Perjalanan pada kelajuan 90 km sejamnya, jarang tersekat. Hanya sesekali dia terpaksa memperlahankan kenderaan. Itu pun kerana terpaksa mengekori lori-lori muatan berat yang panjang atau lori-lori balak yang belum puas memunggah hasil-hasil hutan.

Dua insan bercinta dendangan Ella sedang ke udara. Lagu ini pernah menjadi siulannya semasa di universiti dulu. Lagu yang pernah menjadi saksi kasihnya kepada seniornya. Lagu yang pernah menjadi saksi janji setianya kepada Amir Hakimi. Patah-patah lirik lagu ini bagai melekat dihatinya. Spontan dia dapat ikut menyanyi bersama lagu ini. Dia melaraskan bunyi radionya lebih kuat.

Bersambung.....

0 comments:

Post a Comment