Dalam sesebuah organisasi, khususnya sekolah, kesepakatan, kesepaduan, kerjasama sepasukan serta kejelekitan amat penting dan mustahak untuk dibudayakan. Hal ini penting untuk memastikan visi dan misi sekolah akan dapat diatasi dengan jayanya. Andaikan Organisasi sekolah ibarat sebuah enjin, semua komponen enjin mesti berfungsi. Salah satu komponen yang tidak berfungsi akan menyebabkan enjin tidak dapat beroperasi. Walaupun minyak yang buruk dan berwarna hitam sekalipun fungsinya sangat besar. Tanpa minyak hitam pecahlah enjin. Tak berfungsilah engin.
Di sekolah, semua pihak tidak terkecuali. Dari sebesar-besar jawatan kepada sekecil-kecil jawatan mesti ada sumbangannya yang tersendiri. Dari pengetuannya hinggalah kepada Jaganya semua berperanan ke arah kemajuan dan kecemerlangan sekolah.
Sebab itu, pengetua tidak boleh mendabik dada bahawa kalau tidak kerana pengetua, hancurlah sekolah. GPK pun sama, guru, pelajar, staf dan seterusnya. Setiap aktiviti dan program yang dirancang mesti mendapat sokongan secara total daripada semua pihak. Mesti mendapat dokongan bulat daripada seluruh warga sekolah barulah kejayaan yang dimatlamatkan akan mudah diperolihi. Kelompok antara guru atau juga politik organisasi tidak boleh dibiarkan berkembang biak. Mesti diselesaikan. Kelompok-kelompok yang wujud pasti akan memecahbelahkan organisasi. Pengetua perlu memainkan peranan memecahkan kelompok yang ada. Yang lebih parah kalau pengetua sendiri menjadi ahli sesuatu kelompok tertentu. Barang diingat pengetua memainkan peranan paling utama untuk meneraju sekolah. Mengikut Hellinger, Presiden New York Times, bahawa dia tidak pernah bertemu sebuah sekolah yang merosot dengan pengetua yang baik dan tidak juga bertemu sekolah yang cemerlang diketuai oleh pengetua lemah. Yang selalu ditemui ialak sekolah yang bagus diketuai oleh pengetua yang bagus dan sekolah yang merosot ditadbir oleh pengetua yang teruk.
Apabila sesuatu program utama sekolah dijalankan, semua pihak perlu dilibatkan. Wujudlah jawatankuasa yang menyeluruh. Tidak mungkin semua guru akan terlibat sebagai jawatankuasa bagi sesuatu program. Tambahan lagi kalau sekolah itu besar dan guru serta kakitangannya ramai. Guru-guru yang tidak terlibat dalam program ini mesti terlibat dengan aktiviti yang lain yang akan datang. Yang penting semua pihak ada rasa dan dalam pengetahuan sesuatu aktiviti yang dijalankan.
Saya masih ingat, suatu masa dulu semasa di sekolah lama dulu. Ada seorang guru yang memang tidak peduli aktiviti yang dijalankan oleh orang lain di sekolah. Hatta aktiviti sekolah sekali pun. Ada sekali tu pihak sekolah mengadakan aktiviti ceramah motivasi dengan menjemput penceramah dari luar. Cikgu ini bukan sahaja tidak mengikuti aktiviti yang dijalankan tetapi telah membawa pelajarnya ke perpustakaan. Pengetua yang menyedari ketidakhadiran guru dan sebahagian kecil kecil pelajar ini meminta cara mencari cikgu tersebut.
"Pengetua jemput supaya cikgu mengikuti program motivasi di dewan" Saya memberitahu cikgu tersebut selepas memberikan salam.
"Tak apalah saya ada aktiviti dengan pelajar. Kalau pengetua nak marah biar dia marah saya" jawab cikgu ini selamba. Dia ni bukan jenis kaki melawan. Tetapi jenis yang buat hal sendiri. Dah beberapa kali apabila berurusan dengannya benda yang mudah menjadi payah. Malas saya nak melayan.
Lepas tu di kena mengadap pengetua. Tak tahu apa yang jadinya. Pengetua saya jenis orang pandai menjaga hati guru-gurunya. Dia tidak pernah menegur kesilapan guru, di hadapan guru lain. Selalunya diselesaikan secara berdepan. Panggil dalam bilik . Ditegur dengan bersopan. Kalau tak makan saman juga, Pengetua akan memanggil sama GPK-GPK duduk semeja siap makan dan minum lagi.
Mungkin, secara umumnya khususnya tindakan guru tersebut bukannya berniat untuk memulau aktiviti sekolah. Tetapi cikgu ini jenis tak berapa bercampur dengan orang lain. Jadi dia buat apa yang dia fikir sahaja. Sikap ini amat tidak baik dalam sesebuah organisasi. Semua pihak tidak perlu berfikir secara mikro tetapi lebih kepada fikiran makro secara menyeluruh untuk kebaikan bersama di sekolah.
Kita lihat satu satu kelompok yang sering terlepas pandang ialah jaga sekolah. Jaga sekolah sekarang sering dianggap pihak luar dan bukan sebahagian daripada warga sekolah. Jaga hanya dianggap bertanggungjawab menjaga keselamatan sekolah semata-mata. Kalau ada jamuan di sekolah kumpulan ini selalunya tidak dijemput bersama. Walhal makanan yang ditempah berlebihan. Membazir. Tak juga sebab ada tukang bungkus yang sudi membawa balik. Adalah lebih baik jaga juga dijemput sama dalam jamuan. Seronok mereka. Mereka akan rasa mereka sebahagian daripada sekolah.
Sebenarnya jaga akan meberikan gambaran awal tentang sekolah dengan pihak luar. Bayangkan kalau pemantau seperti contohnya pihak Nazir datang ke sekolah dan berbual-bual dengan jaga dan tanya tentang Pengetua sekolah. Tidakkah parah kalau jaga tersebut memberitahu pengetua dan warga sekolah tidak pernah menyapa mereka. Perkara yang mudah sahaja, tetapi jarang dapat dilakukan. Sekurang-kurangnya berikan senyuman, angkat tangan dan pandang kepada mereka semasa melalui pondok jaga. Sejuk hati mereka. Besar harga diri mereka. Pasti melambunglah pujian mereka kepada sekolah seperti yang saya ceritakan dalam cerita sekuriti guard, banyak bagus itu pengetua.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments:
Post a Comment