Nescafe Ais Yang Menyejukkan

Satu hari, selepas tamat P&P di kelas, saya singgah di kantin sekolah untuk minum. Sambil minum saya memerhatikan gelagat pelajar melalui cermin nako yang terbuka. Di luar kantin sekolah berhenti sebuah motosikal RXZ yang bersuara lantang dan segaja dilantangkan sebelum dimatikan enginnya. Saya dapat melihat seorang pemuda bermuka masam dan teduh memandang sekeliling seperti mencari sesuatu. Saya keluar dari kantin menuju ke arah pemuda tersebut. Wah!, boleh tahan gaya samsengnya. Bulat matanya seperti hendak menelan saya. Kat leher bergayutan bermacam jenis rantai. Ada jenis besi, jenis benang berselirat ditengkuknya. Tangannya juga siap ada rantai besi croom sebesar jari kelingking. Tubuhnya yang sasa dengan jeans lusuh dan baju T ketat menunjukkan ciri-ciri budak gedebe.

"Asssalamualaikum boh (boss)" sapa saya sambil tersenyum. Saya menghampiri pemuda tersebut sambil mengulurkan tangan untuk bersalam. Pemuda itu seperti nak tak nak menyambut salam salam saya sambil melihat bulat kepada saya.

"Saya nak jumpa cikgu Azmi" beritahu pemuda tersebut tegas sebelum sempat saya bertanyakan tujuannya datang ke sekolah. Berderau darah saya. Otak saya ligat berfikir dan bertanya. Aku kenal ke pemuda ini. Dia tentunya tak kenal saya sebab dia tanya saya, yang mana satu cikgu Azmi.

"Dia ada, nanti saya panggil" sahut saya selamba. Saya mempelawa pemuda tersebut untuk menunggu di kantin sementara menunggu saya memanggil cikgu Azmi. Dia mengekori saya masuk ke kantin sekolah. Saya memesan minuman nescafe ais seperti yang dimintanya. Sambil itu saya sempat berbisik dengan Abang Din dan Anaknya Sayuti. Saya meminta mereka standby kerana pemuda tersebut mencari saya tapi dia tak kenal saya.

Saya sendiri membawakan air kepada pemuda tersebut. Sambil duduk didepannya saya mempersilakan dia minum. Bila sahaja dia selesai menyedut sedutan pertama, saya memandang tepat kedalam matanya dan dengan tegas mengaku bahawa sayalah cikgu Azmi. Saya sebenar telah bersedia sebarang kemungkinan. Bersedia untuk lari.... Pemuda itu mengangkat kepalanya dan dengan tepat memandang kepada saya. Kami bertentangan mata. Abang Din menghampiri meja kami dan berpura-pura mengelap meja. Sayuti keluar dari pintu dapur dan stanby diluar mintu masuk kantin.

"Kenapa cikgu tampar adik saya semalam?" tanya pemuda tersebut yang masih memandang tepat mata saya. Saya merenung tepat ke dalam matanya. Pemuda itu yang tadinya sudah nampak tenang kembali menunjukkan rasa marah. Mukanya berubah sekali pucat. Sekali merah. Macam nak makan orang.

"Gini, Kelmarin dulu (sehari sebelum semalam) Mamat bergaduh dengan budak Felda X. Jadi saya pun panggil Mamat untuk merekodkan peristiwa yang berlaku dalam borang. Kelmarin saya minta borang tersebut. Borang pengakuan tersebut tidak diisi tapi saya tengok ada bekas tulisan yang telah dipadamkan menggunakan liquit paper. Bila saya tayangkan pada lampu saya dapat membaca tulisannya yang mencarut dan menyumpah seranah diri saya.

"Dia kata apa kat cikgu?" soal pemuda tersebut dengan nada suara lebih lembut. Saya sebut juga apa yang ditulis adiknya dengan rasa sedikit malu. Pemuda tersebut terdiam sambil merenung mata saya dengan sayu. Dengan perlahan dia berkata;

"Cikgu!, cikgu memang sabar, kalau saya dia kata begitu, saya sepak mampus" Saya menarik nafas lega. Nescafe ais yang diminum rupanya berupaya menyejukkan darahnya yang menggelegak. Abang Din mengakat tangan sambil tersenyum dan terus ke dapur. Sayuti juga. Selepas itu saya berbual panjang dengan pemuda tersebut tanpa rasa gementar lagi.. Selepas hari itu saya dan pemuda tersebut berkawan baik hingga ke hari ini....

0 comments:

Post a Comment